Hidayah
Hari
berganti minggu dan minggu bertukar bulan. Kini genap sudah tiga bulan Sultan
Murad berada di Pulau Magnesia. Selama ketiadaan baginda, Sultan Muhammad
al-Fateh yang mentadbir negara. Walaupun usianya masih muda namun baginda dapat
menunjukkan kemampuannya memikul tanggungjawab yang diamanahkan kepadanya. Rakyat
berasa selamat walaupun Sultan Murad tidak ada. Mereka mula yakin dengan
kemampuan putra baginda itu. Namun musuh mereka yang berpusat di kota Konstantinopel
sentiasa berusaha menghancurkan kerajaan Usmaniah. Satu demi satu perancangan
yang mereka lakukan. Kali ini Maharaja Konstantine menghantar utusan yang
diketuai oleh Zaqhanus, seorang ketua paderi yang terkenal dengan
kebijaksanaannya.
“Tujuan
kita memperdayakan Sultan Muhammad dan ulama-ulama mereka adalah supaya mereka
keluar dari Islam dan menganut agama kita. Sekiranya rancangan ini berjaya,
kamu mendapat penghormatan seperti seorang raja dan kamu menjadi kaya-raya.” janji
Maharaja Konstantine kepada Zaqhanus.
“Saya
yakin rancangan ini pasti berjaya. Sultan muda itu pasti terperdaya dengan
muslihat kita ini. Tambahan pula saya sudah membuat kajian dengan mendalam. Saya
tahu di mana kelemahan mereka.” kata ketua paderi itu bersungguh-sungguh.
“Tetapi
awas….” Kata Maharaja Konstantine, “Sekiranya rancangan ini gagal kamu jangan
pulang ke sini. Aku tidak mahu tengok muka kamu lagi.”
“Baiklah,
tuanku.” ujar Zaqhanus.
Dia
bergitu yakin muslihatnya itu pasti mendatangkan kejayaan. Tambahan pula
cabaranya tidak mampu dilakukkan oleh sesiapa pun. Usahkan manusia, malaikat,
jin dan syaitan pun tidak mampu melakukannya. Janji Maharaja Konstantine
menyemarakkan lagi semangatnya. Terbayang di ruang matanya kemewahan hidup dan
penghormatan yang dikurniakan oleh maharaja.
Apabila
Sultan Muhammad mendapat tahu kedatangan utusan Maharaja Konstantine itu,
baginda berlapang dada kerana menjangka kedatangan mereka dengan niat baik. Mereka
dilayan sebagai tetamu. Namun ketua paderi itu tetap tidak mengurungkan niatnya
hendak memperdayakan Sultan Muhammad. Dia memasang perangkap kata-kata. “Kedatangan
kami kali ini tidak membawa apa-apa hadiah daripada Maharaja Konstantine. Kami tahun
tuanku tidak mahu menerima rasuah. Kedatangan kami kali ini hendak berbincang
mengenai hadis Nabi Muhammad.” kata ketua paderi itu sebaik menghadap.
Sultan
Muhammad tertarik hati mendengarnya. Sambil tersenyum baginda berkata, “Alhamdulillah,
di sini ramai pakar hadis. Mereka bersedia mengajar kamu ilmu hadis. Semoga kamu
mendapat hidayah daripada yang Maha Berkuasa.”
“Saya
datang bukan hendak mempelajari ilmu hadis. Tetapi hendak berbincang mengenai
suatu hadis dengan ulama-ulama tuanku.” kata Zaqhanus sambil membuka kitabnya.
“Apa
maksud kamu?” tanya Sultan Muhammad.
“Tuanku
perintahkan ulama-ulama besar supaya berkumpul ke sini kerana apa yang hendak
saya perkatakan ini ada kaitanya dengan hadis nabi tuanku, Muhammad.” jawab
ketua paderi itu.
“Apakah
kamu hendak mempersendakan nabi kami?” tanya Sultan Muhammad. Baginda mula naik
berang. Darah mudanya cepat panas sekiranya ada yang cuba mempersendakan
Rasulullah SAW.
“Saya
adalah ketua paderi di Kota Konstantinopel. Saya suka membaca kitab termasuk
kitab hadis. Saya terjumpa sebuah hadis yang ada kaitannya dengan kaum Bani
Israel. Kerana itu saya datang ke sini berbincang dengan ulama-ulama tuanku
mengenai hadis itu.” jawab Zaqhanus. Dia yakin rancangannya pasti berjaya.
“Sekiranya
hanya mahu berbincang sebuah hadis, cukup saya panggil seorang ulama sahaja. Mengapa
perlu dikumpulkan ramai ulama?” kata Sultan Muhammad al-Fateh.
“Tuanku
sudah lupakah sejarah Nabi Musa dengan Firaun? Apabila Nabi Musa hendak
menunjukkan mukjizatnya maka disuruhnya Firaun memanggil semua tukang sihir
yang ada di negeri Mesir supaya berkumpul di istana Firaun.” kata Zaqhanus
pula.
“Adakah
engkau anggap diri engkau Nabi Musa dan sultan kami sebagai Firaun?” herdik
Panglima Tharhan sambil menghunus pedanya.
“Kami
datang hendak berbincang mengenai sebuah hadis nabi kamu, Muhammad. Bukan
hendak berperang.” kata Zaqhanus pula.
“Baiklah,
saya setuju,” kata Sultan Muhammad al-Fateh lalu menyuruh panglima Tharhan
menjauhi Zaqhanus.
“Tuanku
perlu panggil semua ulama yang hebat kerana saya hendak berhadapan dengan
mereka. Perkara ini amat penting kerana ada kaitanya dengan hadis nabi tuanku
dan kaum Bani Israel.”
“Adakah
kamu hendak berdebat mengenai hadis itu dengan ulama-ulama kami?” tanya Sultan
Muhammad al-Fateh pula.
“Bukan
berdebat tetapi hendak mencari kebenaran mengenai sebuah hadis nabi tuanku,”
jawab Zaqhanus bersungguh-sungguh.
“Hadis
yang mana satu?” tanya Sultan Muhammad lagi.
“Saya
hanya membacakan hadis itu selepas semua ulama handalan tuanku berkumpul di
sini,” jawab ketua paderi itu sambil tersenyum.
“Lebih
baik kita jangan layan permintaan mereka. Suruh mereka keluar dari sini dengan
segera,” bisik Khalil Pasya, Perdana Menteri Sultan Muhammad al-Fateh.
Namun
Sultan Muhammad walaupun masih muda tetapi bijak dan berpandangan jauh. “Mereka
hendak berbincang mengenai hadis dengan ulama-ulama kita. Sekiranya kita
menolak, kita dituduh penakut. Kerana itu ada baiknya kita tunaikan permintaan
mereka.”
Akhirnya
mereka bersetuju dengan permintaan ketua paderi itu. Sultan Muhammad al-Fateh
memerintahkan ulama-ulama terbilang berkumpul di istana. Kemudian ketua paderi
itu bertanya, “Saya terbaca sebuah hadis mengatakan, ulama-ulama di kalangan
kamu seperti nabi-nabi Bani Israel. Adakah itu hadis yang benar ataupun hadis
palsu?”
“Hadis
itu adalah hadis sahih. Memang pernah diucapkan oleh Nabi Muhammad SAW,” jawab
seorang ulama yang hadir.
Ketua
paderi itu tersenyum lalu berkata, “Di kalangan Bani Israel ada Nabi Isa yang
boleh menghidupkan orang yang sudah mati. Sekiranya benar ulama-ulama kamu
seperti nabi-nabi Bani Israel maka cuba hidupkan orang yang mati!”
Semua
yang hadir terdiam. Masing-masing tidak berani bersuara. Melihat keadaan itu,
ketua paderi itu menjadi semangkin angkuh. Dia mengulangi kata-katanya, “Saya
terbaca sebuah hadis daripada nabi kamu Muhammad yang mengatakan, ulama-ulama
di kalangan kamu seperti nabi-nabi Bani Israel. Baiklah, di kalangan Bani
Israel ada Nabi Isa yang boleh menghidupkan orang yang sudah mati. Sekiranya benar
seperti kata nabi kamu, di mana ulama-ulama kamu yang boleh menghidupkan orang
yang mati?”
Suasana
senyap seketika. Orang ramai menjadi bungkam.
“Cepat
sambut cabaran itu! Jangan kamu berdiam diri! Tunjukkan kebolehan kamu!” kata
Sultan Muhammad al-Fateh.
Tetapi
tidak ada seorang ulama yang berada di situ menyahut cabaran itu. Masing-masing
menundukkan kepala. Mereka berpendapat mustahil mereka boleh menghidupkan orang
yang sudah mati.
“Di
mana Syeikh Bayram? Mengapa dia tidak ada di sini?” tanya Sultan Muhammad
al-Fateh yang baru menyedari ulama tua itu tidak berada di situ.
“Dia
uzur kerana itu tidak dapat datang ke sini,” jawab salah seorang anak muridnya
yang hadir.
“Perintahkan
dia datang ke istana sekarang juga,” kata Sultan Muhammad.
Perintah
itu segera dituruti. Selepas Syeikh Bayram datang, diceritakan mengenai cabaran
ketua paderi itu.
“Tidak
ada seorang pun ulama yang berani menyahut cabaran itu. Kami bergantung harapan
kepada tuan. Sila tunjukkan kehebatan ulama Islam kepada mereka,” kata Sultan
Muhammad al-Fateh.
Agak
lama juga Syeikh Bayram termenung mencari ikhtihar bagi menyahut cabaran itu. Dia
sedar sultan dan orang ramai bergantung harapan padanya bagi menyelesaikan
perkara itu. Sekiranya tidak mereka semua pasti mendapat malu terutama sultan. Apa
yang paling ditakutinya nanti ada yang memperlekehkan hadis Nabi Muhammad SAW
serta memberikan kemenangan moral kepada musuh mereka.
“Baiklah,
saya bersedia menyahut cabaran itu demi membuktikan kebenaran hadis itu,”
beritahu Syeikh Bayram. Sultan Muhammad al-Fateh kelihatan gembira kerana yakin
dengan kebolehan Syeikh Bayram.
“Tuanku,
orang ini sudah mengaku dirinya seorang ulama yang sama tarafnya dengan
nabi-nabi di kalangan Bani Israel. Sekarang saya mahu dihidupkan mayat di dalam
kubur. Bukan orang yang baru mati,” kata Zaqhanus pula.
“Bagaimana
tuan guru? Sanggupkah tuan melakukannya?” tanya Sultan Muhammad al-Fateh kepada
Syiekh Bayram.
“Saya
melakukannya dengan izin Tuhan,” jawab Syiekh Bayram dengan yakin.
Kemudian
Syeikh Bayram mengajak mereka pergi ke kawasan tanah perkuburan. Kemudian Zaqhanus
memilih salah sebuah kubur lama lalu berkata, “Saya mahu tuan hidupkan mayat di
dalam kubur ini.”
“Ini
sesuatu yang mustahil dapat dilakukan. Mereka sengaja hendak memalukan kita,”
bisik seorang pemuda bernama Amir Pasya.
“Syeikh
Bayram seorang ulama yang terbilang. Dia juga mempunyai karamah. Saya yakin dia
mampu menyahut cabaran itu,” balas kawannya, Hasan Ulubate.
“Syeikh
Bayram mendekati kubur itu kemudian melakukan sembahyang sunat dua rakaat lalu
dia berdoa, “Wahai Tuhan, tunjukkan kebenaran hadis Nabi Muhammad SAW itu
kepada kami.”
“Tiba-tiba
dengan izin Tuhan yang Maha Berkuasa suatu keajaiban berlaku. Lubang kubur itu
terbuka lalu kelihatan sekujur mayat di dalamnya. Zaqhanus meninjau ke dalam
kubur lalu berkata, “Mayat ini baru meninggal dunia kerana tidak reput. Saya mahu
kubur yang mayatnya sudah reput.”
Syeikh
Bayram beralih ke kubur lain lalu membaca doa yang sama. Tiba-tiba kubur itu
terbuka. Zaqhanus berpuashati apabila melihat dalam kubur itu cuma kelihatan
tulang-temulang sahaja.
“Saya
mahu kamu hidupkan mayat di dalam kubur ini,” katanya sambil tersenyum sinis.
Syeikh
Bayram berseru, “wahai mayat, hidup dan bangun dengan izin aku…”
Tiba-tiba
tulang-temulang itu bertukar menjadi mayat lalu bergerak-gerak dan bangkit dari
kuburnya. Orang ramai berasa sungguh hairan. Malah ada yang berasa takut lalu
melarikan diri kerana menyangka hantu bangkit dari dalam kubur itu. Kemudian Syeikh
Bayram sempat bertanya nama dan umur orang itu bagi membuktikan kebenarannya. Orang
ramai berasa takjub dengan kejadian itu.
“Sesungguhnya
Muhammad itu memang seorang rasul. Aku naik saksi bahawa tidak ada tuhan selain
Allah dan Muhammad itu Rasulullah,” ucap Zaqhanus.
Kemudian
dia mengisytiharkan dirinya menganut agama Islam.
Yang Benar dan Yang
Palsu
Puji-pujian
dan sanjungan orang ramai kepada Syeikh Bayram menimbulkan rasa sakit hati Syeikh
Aslam. Dia merasakan dirinya seolah-olah tidak dipedulikan lagi. Ke mana sahaja
dia pergi, kedengaran orang ramai bercakap-cakap mengenai kehebatan Syeikh
Bayram yang boleh menghidupkan orang yang sudah mati.
“Selepas
melihat kehebatan Syeikh Bayram, ketua paderi yang bongkak itu akhirnya memeluk
agama Islam. Sekarang dia berguru dengan Syeikh Bayram. Anak-anak muridnya juga
semakin hari semakin bertambah,” kata Mahmud yang dahulunya berguru dengan
Syeikh Aslam tetapi kini beralih kepada Syeikh Bayram.
Bertambah
sakit hati Syeikh Aslam mendengarnya. Berhari-hari lamanya dia berkurung di
dalam rumah, tidak keluar ke mana-mana. Akhirnya sakit hati itu bertukar
menjadi dendam kesumat. Dia mula memikirkan bagaimanakah caranya hendak
menjatuhkan Syeikh Bayram. Akhirnya dia mendapat satu cara lalu dia menghadap
Sultan Muhammad al-Fateh.
“Nampaknya
orang ramai semakin taksub kepada Syeikh Bayram. Sekiranya perkara ini
dibiarkan, ia boleh merosakan akidah,” kata Syeikh Aslam dalam usaha memasukkan
jarum fitnahnya.
“Merosakkan
akidah? Apa maksud tuan?” tanya Sultan Muhammad al-Fateh.
“Ada
yang mengatakan Syeikh Bayram lebih hebat dari nabi kerana dia boleh
menghidupkan orang mati. Sekiranya perkara ini dibiarkan, ia boleh merosakkan
akidah umat Islam,” jawab Syeikh Aslam.
“Tanggungjawab
tuan dan para ulama yang lain menyedarkan orang ramai. Syeikh Bayram tidak
bersalah.” Sultan Muhammad al-Fateh cuba mempertahankan penasihat sultan itu.
“Mengikut
ilmu yang ada pada saya, Syeikh Bayram bukan sahaja bersalah tetapi sudah sesat
dan menyesatkan,” kata Syeikh Aslam pula.
“Begitu
berat tuduhan tuan. Apa buktinya?.” Sultan Muhammad meminta penjelasan.
“Tuanku
sudah lupakah apa yang diucapkan oleh Syeikh Bayram kepada mayat di dalam kubur
itu?” tanya Syeikh Aslam pula.
“Dia
menyuruh mayat itu bangun. Kemudian mayat itu bangun dan boleh berkata-kata. Tetapi
itu dengan izin Tuhan juga,” jawab Sultan Muhammad.
“Syeikh
Baryam berkata kepada mayat itu, ‘Wahai mayat, hidup dan bangunlah dengan izin
aku.’ Persoalan saya, mengapa Syeikh Bayram berkata ‘dengan izin aku’.
Sepatutnya dia berkata dengan izin Allah.”
“Betulkah
begitu ucapan Syeikh Baryam?” Sultan Muhammad semakin berminat hendak
mengetahuinya.
“Benar,
tuanku. Bukan saya sahaja yang mendengarnya malah orang ramai juga
mendengarnya.”
Bagi
memastikan kebenarannya baginda memanggil beberapa orang saksi yang boleh
dipercayai. Masing-masing mengaku mendengar Syeikh Bayram menyebut ‘dengan izin
aku’ bukan dengan izin Allah.
“Kerana
itu ada yang memuja Syeikh Bayram kerana menganggap dia ada kuasa menghidupkan
orang yang sudah mati. Malah ada yang bercadang hendak menyuruh Syeikh Bayram
menghidupkannya semula selepas mati. Bukankah itu bahaya?”
Sultan
Muhammad al-Fateh mula mempercayai kata-kata Syeikh Aslam. “Apa yang harus kita
lakukan?” tanya Sultan Muhammad al-Fateh.
Syeikh
Aslam tersenyum kerana sultan sudah percaya. Matlamatnya hendak menjatuhkan
Syeikh Baryam pasti tercapai. Entah mengapa dendamnya pada Syeikh Bayram
semakin membuak-buak.
“Kesalahan
Syeikh Bayram amat berat iaitu mengaku dirinya Tuhan. Dia seolah-olah mahu
memberitahu orang ramai bahawa dia berkuasa menghidupkan orang yang mati. Kerana
itu saya mencadangkan supaya dia dihukum bunuh,” kata syeikh Aslam.
“Menjatuhkan
hukuman bunuh pada seorang ulama yang terbilang bukan perkara mudah. Kerana itu
ada baiknya kita tunggu kepulangan Sultan Murad dari Pulau Magnesia,” kata
Sultan Muhammad pula.
“Itu
mengambil masa yang lama. Setiap hari pengikut Syeikh Bayram semakin bertambah.
Tuanku sudah diberi kuasa oleh Sultan Murad bagi memangku jawatannya. Tuanku berkuasa
menjatuhkan hukuman.”
Namun
Sultan Muhammad al-Fateh tidak mahu bertindak terburu-buru. “Lebih baik kita
siasat dahulu perkara ini. Sekiranya terbukti kebenarannya barulah hukuman
dijatuhkan,” katanya.
“Tuanku
jangan membuang masa kerana Syeikh Bayram sudah melakukan kesalahan. Kerana itu
hukuman mesti dijatuhkan,” desak Syeikh Aslam.
Sultan
Muhammad kelihatan serba salah. Melihat keadaan itu, Syeikh Aslam berkata lagi,
“Saya khuatir Syeikh Bayram sedang merancang hedak merampas kuasa kerana
rumahnya selalu dikunjungi oleh orang-orang yang tidak dikenali. Mereka selalu
berkumpul di rumah itu pada waktu malam.”
Mendengar
aduan itu Sultan Muhammad seolah-olah tidak dapat menahan perasaannya. Darah mudanya
cepat mendidih.
“Kita
pergi ke rumah Syeikh Bayram sekarang juga,” katanya.
Sultan
Muhammad dengan diiringi oleh Syekih Aslam dan beberapa orang pengawal bergegas
ke rumah Syeikh Bayram. Kedatangan mereka disambut oleh anak-anak dan isteri
ulama terkenal itu.
“Di
mana Syeikh Bayram?” tanya Sultan Muhammad.
“Dia
berada di dalam biliknya. Mungkin sedang beramal ibadat,” jawab isteri Syeikh
Bayram.
“Mungkin
dia sengaja bersembunyi di biliknya. Elok kita sendiri menemuinya,” bisik
Syeikh Aslam kepada Sultan Muhammad.
Mereka
segera naik ke rumah. Isteri Syeikh Bayram membawa mereka ke sebuah bilik kecil
yang dijadikan tempat beribadat oleh Syeikh Bayram. Tetapi pintu bilik itu
berkunci dari dalam. Mereka memanggil nama Syeikh Bayram supaya membuka pintu
itu tetapi tiada jawapan.
“Dia
sengaja bersembunyi di dalam bilik ini kerana takut,” bisik Syeikh Aslam.
“Pecahkan
pintu ini,” perintah Sultan Muhammad al-Fateh selepas puas memanggil nama
Syeikh Bayram namun tidak ada jawapan.
Beberapa
pengawal bertindak memecahkan pintu bilik itu, kemudian mereka segera masuk. Kelihatan
Syeikh Bayram sedang sujud di tempat sembahyangnya.
“Jangan
ganggu, dia sedang bersembahyang,” kata Sultan Muhammad al-Fateh kerana
menyangka ulama terbilang itu sedang sujud dalam sembahyang.
Namun
mereka berasa pelik kerana Syeikh Bayram sujud terlalu lama. Dia seolah-olah
kaku di tempat sujudnya. Sultan Muhammad al-Fateh segera mendekati Syeikh
Bayram.
“Dia
sudah tidak bernyawa lagi…,” kata Sultan Muhammad al-Fateh selepas memeriksa
denyutan nadi Syeikh Bayram.
Berita
itu tersebar dengan begitu cepat. Orang ramai terutama anak-anak muridnya
berkumpul di rumah ulama itu. Sultan Murad memendekkan percutiannya selepas
mendapat tahu Syeikh Bayram meninggal dunia. Sultan Murad memerintahkan supaya
Syeikh Bayram dikebumi dengan penuh penghormatan sesuai dengan tarafnya sebagai
ulama.
“Bagaimana
dengan ucapan Syeikh Bayram, ‘Wahai mayat, hidup dan bangunlah dengan izin aku.’
Apakah itu tidak menjadi kesalahan?” tanya Sultan Muhammad inginkan penjelasan.
“Sebenarnya
semasa Syeikh Bayram berkata, ‘dengan izin aku’ itu, dia sedang mengalami tajalli Allah. Hakikatnya Allah yang
berkata-kata dengan sifat kalam-Nya melalui Syeikh Bayram. Dengan erti kata
lain, Syeikh Bayram Cuma menterjemahkan sahaja kalam Allah. Sebenarnya ‘dengan
izin aku’ itu tetap bermaksud dengan izin Allah,” kata Syeikh Syamsudin al-Wali
dengan panjang lebar.
Syeikh
Aslam insaf dengan kesalahan yang dilakukannya. Dia berasa amat menyesal lalu
bertaubat dan berjanji tidak melakukannya lagi.
“Syeikh
Bayram digantikan oleh Syeikh Syamsudin al-Wali. Dia dilantik menjadi penasihat
sultan,” kata Sultan Murad pula.
(Dipetik dari novel sejarah Islam - SULTAN MUHAMMAD
AL-FATEH: PENAKLUK KONSTANTINOPEL karangan Abdul Latip Talib)