PERMULAAN PERANG SALIB
Permulaan gerakan salib ini
adalah akibat daripada propaganda yang hebat lagi jahil ketika itu daripada
seorang yang bernama Batrus An-Nasik, yang ahli sejarah sifatkannya sebagai
orang yang tidak pun pernah pergi ke Baitulmuqaddis dan tidak juga pernah
berjumpa dengan Paus, tetapi atas semangat anti Islamnya itu dia telah Berjaya
menghimpunkan orang-orang Kristian lalu mara ke Baitulmuqqadis. Dalam
perjalanan mereka ke sana, mereka telah
merompak, menyamun negeri-negeri dan daerah-daerah yang mereka lalui sambil
melakukan kerja-kerja jenayah yang amat keji, hinggakan orang-orang Hungary
dan Byzantin bangkit menentang mereka. Setibanya mereka di Konstantinopel
mereka telah diarahkan oleh Maharaja Rom, Alexius Comnenus untuk ke Asia Kecil
lalu lalu berjumpalah mereka dengan bala tentera Turki Saljuq di Niqia pada
1097 Masihi (489 Hijrah). Di dalam pertempuran itu, ramai di antara mereka
telah pun terbunuh hingga ke orang yang terakhir.
Bagaimanapun mengikut kajian
Mahayudin Hj. Yahya dan Ahmad Jelani Halimi, mereka mengatakan bahawa terdapat
seorang pendeta dan pengembara berbangsa Perancis bernama Peters Amiens (Peter
Hermit) yang telah menyaksikan penderitaan yang dialami oleh orang-orang
Kristian sewaktu beliau di Palestin. Antara penderitaan yang dinyatakan adalah
cukai yang tinggi yang dikenakan ke atas orang-orang Kristian yang melalui
wilayah-wilayah Islam. Dalam pertemuanya dengan Paus Urban II, beliau telah
melaporkan hal berkenaan serta berkempen kepada raja-raja dan para pembesar
Kristian di Eropah supaya menentang orang-orang Islam. Peters telah dilantik
oleh Paus sebagai propagandis bagi menaikkan semangat orang-orang Kristian di
Eropah. Peters diangap sebagai seorang pendakwah yang zuhud. Beliau dikatakan
berkaki ayam menjelajah ke seluruh pelosok kampong menyeru para penduduknya
supaya tampil menyertai Pasukan Salibi atau ‘Crusade’ itu. Bagi mengenali tentera Salibnya ini, mereka telah
sematkan kain bertanda Salib di lengan-lengan baju mereka.
Pada ketika itu Baitulmuqqadis
adalah di bawah pentadbiran Atabeg Saljuq, yang memerintah di sekitar Syria dan
Palestin iaitu di sebelah timur Laut Mediterranean, manakala di sebelah
selatannya adalah wilayah kerajaan Fatimiyah yang berpusat di Mesir. Sejak
tahun 471H (1078M) lagi telah tersebar fitnah bahawa gereja yang menempatkan
makan Nabi Isa a.s. telah dibinasakan oleh kerajaan Fatimiyah. Bagi Maharaja
Alexius Comnenus di Konstantinople pula, beliau telah menyeru raja-raja Eropah
untuk memerangi orang-orang Islam bagi tujuan menyelamatkan kerajaan Byzantine
beliau daripada terjatuh ke tangan Turki Saljuq Islam.
Sebelum itu, pada tahun 1061M,
orang-orang Normans telah menyerang orang-orang Islam di Itali dan Sicily dan
telah berjaya menakluki mereka pada tahun 1091M. Maka berlakulah pembunuhan
terhadap orang-orang Islam tanpa belas kasihan. Orang-orang Spanyol telah
melancarkan pula ‘Perperangan Menakluki Semula’ di Andalus, dan mula berjaya di
Toledo pada
1085M. Apabila jatuhnya Sicily kepada tanganorang-orang Kristian maka peristiwa
tersebut telah memberikan perangsang yang kuat kepada orang-orang Kristian bagi
memperluaskan jajahan takluk mereka.
PASUKAN TENTERA SALIB PERTAMA
Pada tahun 1096M, Paus Urban II
telah menyeru kepada pahlawan-pahlawan Agama Kristian Eropah untuk membebaskan kesucian
permakaman Nabi Isa (Haikal Muqaddas, kuil suci mereka) di Baitulmuqqadis
(Jerusalem). Paus ini telah menyarankan agar orang-orang berbangsa Frank itu
bersatu dan menentang terhadap orang-orang Islam apa yang mereka panggil sebagai
‘unbelivers’ (atau orang yang tidak
mempercayai). Dalam perjumpaan di Clermont (Perancis) itu, kesemua mereka
memekik dengan suara yang bersemangat: “Tuhan mengkehendakinya!” (God wills it!) dalam bahasa Perancis “Deus lo volt!”. Mereka yang menyertai
pasukan ini telah menjahit lambing salib daripada kain ke pakaian mereka.
Dengan itu mereka dikenali sebagai Crusaders
(Tentera Salib). Bagi orang-orang lelaki yang menyertai perang tersebut telah
diberitahu bahawa kesemua dosa-dosa mereka akan diampunkan. Sekiranya mereka
terkorban maka mereka akan terus masuk syurga, bermaksud sebagai ‘syahid’.
Harta dan keluarga mereka yang tinggal adalah dijamin akan diberikan
perlindungan oleh pihak gereja. Mereka yang berhutang jika menyertai perang
Salibi, maka hutangnya akan dibatalkan. Bagi penjenayah yang menyertai
peperangan itu akan terbatallah hukuman ke atas mereka. Dengan tawaran-tawaran
sedemikian rupa maka ramailah yang mahu turut serta.
Pemergian mereka itu hanyalah
berlandaskan sentimen serta emosi permusuhan terhadap Islam yang telah
dikobar-kobarkan oleh pihak-pihak tertentu tetapi menutupi fakta-fakta terhadap
sejarah dan fahaman mengenai Islam yang sebenarnya, malah ada penulis yang
mengatakan angkatan tersebut terdiri daripada angkatan-angkatan para pengganas,
kerana mereka telah merompak di kampung-kampung di dalam perjalanan mereka
serta membunuh siapa yang cuba melawan, seolah-olah mereka itu berhak berbuat
demikian atas nama ‘Jesus’. Ada juga di antara mereka yang terdiri daripada
rakyat bawahan iaitu orang-orang kampung yang miskin, para penjenayah, juga
orang-orang yang kuat pegangan agama mereka, termasuklah Peter Amiens (Peter
Hermit) yang menunggang keldainya mengetuai pasukan sukarelawan rakyat
tersebut. Peter kelihatan membawa bersamanya kayu salib besar di belakangnya.
Pada bulan Mei 1096M, Peter telah berlepas dari Cologne di Jerman mengetuai
pasukan salibnya itu, manakala sekumpulan lagi di bawah Walter “The Peniless”
(Tanpa Wang) turut juga bertolak dengan pasukannya. Di Bandar Worms dan Prague, terdapat ramai rakyat Yahudi yang tinggal di sana dan mereka ini telah
dizalimi, maka beribu-ribu pulaorang-orang Yahudi telah dipaksa untuk masuk
Agama Kristian. Sesiapa yang enggan dibaptiskan akan disembelih tanpa soal
jawab.
Akhirnya Maharaja Byzantine turut
mengetahui yang tentera sukarelawan itu tanpa mempunyai displin dan beliau
turut juga merasa bimbang dan cemas terhadap kumpulan itu lalu apabila mereka
sampai ke Kota Konstantinopel, Maharaja Alexius Comnenus telah mengarahkan
mereka untuk mara ke Niqia, seterusnya ke Antakiyah dan menuju ke Jurusalem.
Sebaik sahaja pasukan Salibi itu masuk ke Nicomedia (kini Izmir), pertempuran
pun berlaku, kerana pihak tentera Turki telah pun bersedia menunggu-nunggu
ketibaan “tentera sukarelawan liar” tanpa displin tersebut. Dengan itu berlakulah
pertempuran di mana ramai diantara “pasukan tentera rakyat” itu yang telah pun
terkorban selain daripada mereka yang turut terkorban semasa di dalam
perjalanan yang jauh. Walter “Tanpa Wang” telah terkorban bersama-sama dengan
sebahagian besar daripada 300,000 Tentera Salib. Bagaimanapun Peters Miens
telah berjaya melarikan dirinya ke Konstantinopel. Meskipun ini merupakan
angkatan Perang Salib yang pertama dikirimkan ke Palestin, tetapi kebanyakan
daripada penulis barat enggan mengiranya sebagai Perang Salib kerana mereka itu
dikatakan tidak sempat sampai ke Palestin.
PASUKAN TENTERA SALIB KEDUA
Dinyatakan sementara itu Paus
Urban II telah turut menyusun angkatannya dan menetapkan tarikh 15 Ogos 1097M
(489H) untuk memulakan perjalanan pasukan tenteranya. Antara para pemimpin yang
dipilih ialah Godfrey Duke Lorrain (Bouillon), saudaranya Baldwin I (Count
Raymond of Toulose), Bostace, Robert Duke Normandy dan anaknya Wiliam Penakluk,
Robert Count Flanders, Stephen Count Sharter, Reymond Count Joloz, Hugh of
Firmando dan Bohemund Duke Torantum dan anak saudaranya Tankard dan lain-lain
lagi. Para pemimpin mereka ini terdiri
daripada golongan bangsawan dan pahlawan terbilang (Knights) Perancis. Bilangan tentera mereka adalah dianggarkan lebih
kurang 200,000 ke 300,000 orang (mengikut angka yang lain memberikan 80,000
orang sahaja) yang bertolak bersama-sama dengan kaum wanita dan anak-anak
mereka. Angkatan salibi ini telah bertolak pada bulan Mei 1097M untuk menuju ke
Konstantinopel. Bagaimanapun Maharaja Alexius merasa cemas kerana melalui
pengalamannya yang lepas beliau dapati ada di antara para panglima tentera
salibi itu tidak jujur, seperti Count Bohemund dari Otranto yang pernah
melanggar wilayah jajahan beliau di Albania
dan Greece.
Oleh itu dengan tujuan menjamin bagi memperolehi faedah untuk Byzantine maka
Alexius telah meminta mereka semuanya berikrar dan berjanji menyerahkan semula
wilayah bekas jajahan yang akan ditawan daripada Turki kepadanya apabila tentera
Salib berjaya menawannya kelak. Setelah kesemua mereka bersetuju barulah
Alexius menyediakan bekalan kelengkapan perang, kapal dan pemandu jalan untuk
mereka menyeberang selat Bosphorus.
PENAKLUKAN OLEH PASUKAN TENTERA SALIB
Maka bermulalah Perang Salib
Pertama (Perang Salib Kedua mengikut urutan peristiwa). Mula-mula Nicaea yang diperintah
oleh penguasa Saljuq yang bergelar Sultan Qilij telah digempur. Setelah itu
mereka berjaya menakluki Dorylaeum. Kemudian Maharaja Alexius sendiri memimpin
sepasukan tentera Byzantine. Ketika itu kerajaan Turki dikatakan berpecah belah
dan tidak bersatu lagi. Kemudiannya Edessa telah ditakluki oleh Baldwin, iaitu bekas jajahan Byzantine yang ditakluki
Turki dahulunya. Bandar ini mempunyai ramai penduduk yang beragama Kristian. Dalam
satu konspirasi, Raja Edessa telah dibunuh lalu Baldwin
menjadikan dirinya sebagai raja. Dikatakan ini adalah kota takluk Pasukan Salib yang pertama di
Asia Kecil. Begitu jugalah terjadinya pada Antioch (Antakiyah) yang mana telah berjaya ditewaskan
oleh Bohemund dan Raymond Toulose, tetapi kemudiannya mereka telah berbalah sesama
sendiri untuk menguasai jajahan tersebut. Meskipun ada di antara sultan dan
pembesar Islam ketika itu seperti Amir Riswan dari Alegro dan amir dari Mosul mengirimkan tentera bantuan ke Antioch, tetapi kesemuanya telah dapat
dipatahkan oleh pihak salibi.
SUNNI DAN SYIAH
Mengikut Bernard Lewis, semasa
penawanan Antioch ini iaitu pada lewat 1097M, utusan daripada kerajaan
Fatimiyah telah pun berada di khemah Tentera Salib bagi mencadangkan
pembahagian Syiria dan merancang persefahaman bersama bagi menentang pihak
musuh mereka bersama iaitu Turki Saljuq. Mengikut laporan daripada William dan Tyre menjelaskan kata-kata seperti berikut: “Fatimids were always friendlier to the
Franks than the Sunni Muslims, and notes the glee of Fatimid envoys on hearing
of Selju defeat at Nicaea”.
Apa yang jelas kerajaan Fatimiyah ketika itu sungguh memusuhi pihak Saljuq
(yang dikatakan sebagai ‘Suni Muslim’), meskipun mereka sedang menghadapi musuh
yang terdiri dari pasukan Salibi. Permusuhan di antara Sunni dan Syiah sungguh
ketara ketika itu. Maka berjayalah rancangan jahat yang diasaskan oleh pihak
Abdullah ibn Saba’ al-San’ani al-Yamani dan dikenali juga dengan nama Ibn
al-Sawd’ (sawda’) menanamkan benih perpecahan di kalangan umat Islam sejak
zaman Khalifah Uthman lagi. Akhirnya Antioch dapat diperintah oleh Count
Bohemund.
PEMBUNUHAN KEJAM
Dalam pada waktu itu Raymond
telah mara ke Maarat dan dengan kejamnya telah membunuh kesemua penduduk Islam
di sana.
Mengikut Ibn Athir dalam bukunya Al Kamil Fit-Tarikh menjelaskan: “Raymond
telah menakluki Maaratun-Nu’man, tempat lahirnya Abul Ala, kemudian tenteranya
meninggalkan tempat itu pada 13 Januari 1096M, sesudah membunuh lebih 100,000 rakyat
awam dan melemparkan mayat mereka ke dalam api.”
Mengikut seperti perancangan
mereka, Godfrey dan Count Raymond telah pun bertemu dan bersatu di pinggir
Baitulmuqaddis. Di Lydda mereka telah disambut oleh para penduduknya yang
beragama Kristian pada musim buah 1099M. Selama lima
minggu mereka cuba menawan kota kebal itu daripada
tangan tentera Turki Saljuq. Akhirnya mereka telah membina menara bergerak
untuk memasuki kota
tersebut. Setelah bertungkus-lumus bertempur barulah Baitulmuqqadis berjaya ditawan
mereka. Setelah ditawan, mereka telah melaksanakan selama seminggu untuk
membunuh bukan sahaja orang-orang Islam bahkan rakyat yang beragama Kristian,
orang-orang Yahudi, para wanita, orang-orang tua serta kanak-kanak juga turut
disembelih. Seorang pemimpin mereka yang bernama Godfrey, Duke dari Lorrain
telah menulis kepada Paus dengan mengatakan bahawa, “Kuda tungganganku telah
mengharungi mayat-mayat hinggakan darah-darah manusia menyimbah sampai ke paras
lututnya, kerana ramainya yang telah terbunuh.” Mengikut Ibn Khaldun, bahawa
seramai 70,000 telah terbunuh termasuklah yang berada disekitar masjid, terdiri
daripada alim ulama dan orang-orang yang sedang beribadat di dalam masjid…” Ada yang menyatakan
bilangannya adalah seramai 60,000 seperti yang dicatatkan oleh Gustav Le Bon.
Kejatuhan Baitulmuqqadis itu dinyatakan telah berlaku pada 15 Julai 1099M.
setelah itu Godfrey telah diangkat menjadi sebagai raja di Baitulmuqqadis
dengan gelaran “Pengawal Pusara Al-Masihi.” Berturutan dengan itu mereka telah
mengadakan upacara bersembahyang di gereja Resurection bagi mengucapkan
kesyukuran atas kemenangan tersebut.
Dengan bermulanya Perang salib
ini, ia telah menandakan satu ‘an-out-and-out war’ menentang terhadap
orang-orang beragama Islam. Lagu-lagu berunsur patriotik yang diberikan judul
‘Song of Roland’ telah dialunkan oleh mereka. Agama Islam telah dianggap mereka
sebagai musuh Raja Charlemagne (maharaja suci mereka yang dahulunya). Dikatakan
bahawa Roland telah melirikan lagunya dengan mengatakan bahawa orang-orang
Islam itu adalah penyembah berhala, menyembah tiga tuhan iaitu, ‘Apollo,
Tervagant dan Mahomet’. Jelas sekali mereka telah memainkan propaganda jahil
kerana sentiment yang begitu kuat sekali untuk membenci Agama Islam, malahan
mungkin lebih teruk lagi daripada sentiment puak musyrikin pada zaman Jahiliah
itu sendiri yang menyesatkan manusia!