Daftar Istilah

(Dipetik dari buku Keajaiban Keramat Tok Wali) 
A
Abid    : Hamba yang dikuasai oleh rasa ketidak-upayaan diri dan dia semata-mata bergantung kepada daya dan upaya yang dikurniakan oleh Allah s.w.t., dalam keadaan Dia berhak dan boleh mengambil kembali daya dan upaya tersebut pada bila-bila masa sahaja yang Dia kehendaki. Hamba tersebut bersandar kepada Allah s.w.t., semata-mata dan segala kegiatan hidupnya digunakan untuk beribadat kepada-Nya.

Af’al    : Perbuatan atau amalan.

Afdhal : Lebih baik, lebih mulia dan lebih tinggi kedudukkannya.

Ahadiyyah      : Keadaan Allah swt Yang Maha Esa yang dibukakan kepada seseorang melalui pengalaman kerohanian.

Ahli Asbab     : Orang yang melihat kepada keberkesanan hukum sebab musabab semata-mata sehingga dia melupakan ketentuan dan pentadbiran Tuhan yang menguasai sistem sebab musabab itu. Pergantungan orang ini hanyalah kepada usaha dan ikhtihar dalam mengadakan sebab untuk menghasilkan akibat. Mereka tidak melihat hakikat kekuasaan Tuhan yang mengawal hukum sebab-akibat tersebut.

Ahli Bidaah    : Orang yang mengamalkan sesuatu yang tidak menurut perkataan, perbuatan dan isyarat yang diberikan oleh Rasulullah saw.

Ahli Ilmu         : Orang yang mempunyai ilmu pengetahuan dan berpegang kepada dalil-dalil yang ditemui melalui ilmunya.

Ahli Kasyaf    : Orang yang dibukakan kegahiban kepadanya sehingga mata hatinya dapat menyaksikan hakikat yang “berada” disebalik yang nyata. 


Ahli Kerohanian        : Orang yang telah memasuki bidang atau maqam hati dan mengalami hal-hal berhubung dengan Tuhan.


Ahli Maksiat   : Orang yang cenderung membuat perkara-perkara yang dilarang oleh Tuhan. Peringatan dan ancaman yang dibawa oleh Rasul-rasul tidak memberi bekas pada hatinya.


Ahli Suffah     : Apabila Rasulullah s.a.w. berhijrah ke Madinah, ada juga kumpulan orang-orang miskin dan faqir ikut sama berhijrah ke sana. Tujuan mereka berhijrah adalah untuk berada di samping Rasulullah s.a.w. Walaupun disediakan tempat tinggal untuk orang-orang yang berhijrah, tetapi tempat tersebut agak jauh daripada masjid Rasulullah s.a.w. kumpulan fakir miskin tadi lebih suka tinggal berhampiran dengan masjid baginda s.a.w. Oleh yang demikian baginda s.a.w. mendirikan tempat tinggal untuk mereka di beranda masjid. Mereka yang tinggal di beranda masjid Rasulullah s.a.w. itu dipanggil ahli suffah iaitu orang yang tinggal di beranda masjid Rasulullah s.a.w. Kerja mereka adalah mempelajari wahyu dan hadith dan menyebarkannya kepada kaum Muslimin yang lain.

Ajli Tajrid       : Orang yang menyaksikan kekuasaan Tuhan “berjalan” pada segala perkara dan kejadian termasuklah sebab-sebab yang menghasilkan akibat-akibat. Apabila mereka melihat “tangan” Tuhan pada segala perkara, maka pegangan dan sandaran mereka hanyalah kepada Tuhan, tidak lagi kepada makhluk yang berjalan dalam hukum sebab musabab.

Ahli Tarekat   : Orang yang mengamalkan sesuatu aliran tarekat.

Ahli Tasauf    : Orang yang arif dalam bidang tasauf.

Ahwal : Hal-hal, iaitu pengalaman-pengalaman yang berhubung dengan ketuhanan yang dialami oleh hati.

Aku Hakiki     : Apabila dikuasai oleh suasana kefanaan yang kuat seseorang itu hilang kesedaran terhadap dirinya. Dia tidak melihat lagi kepada “aku” dirinya, sebaliknya apa sahaja yang mengenai dirinya diisbatkannya kepada Tuhan. “Aku” dirinya diisbatkannya kepada “Aku” Tuhan yang diistilahkan sebagai Aku Hakiki.

Alam Ajsam   : Alam jisim. Alam benda-benda.

Alam al-Mulk : Alam nyata, alam yang mengandungi dunia di dalamnya.

Alam Arwah   : Alam roh-roh di mana sekalian roh-roh yang Tuhan jadikan ditempatkan sebelum roh-roh tersebut bercantum dengan jasad dan badan.

Alam Asbab   : Suasana yang pada zahirnya sangat ketara dikuasai oleh perjalanan hukum sebab dan akibat.

Alam Baqa     : Lihat baqa.

Alam Barzakh            : Tingkat alam selepas bumbung langit rendah iaitu langit dunia. Ia merupakan sebahagian daripada peringkat alam yang dinamakan Alam Malakut Bawah. Roh orang yang jasadnya mengalami kematian dibawa keluar meninggalkan bumbung langit dunia dan ditempatkan di Alam Barzakh.

Alam Fana      : Lihat fana.

Alam Insan     : Manusia yang bercantum rohani dan jasad.

Alam Jin         : Satu ruang di bawah bumbung langit dunia di mana ditempatkan makhluk halus seperti jin dan lain-lain.

Alam Kabir     : Alam besar, iaitu alam makhluk semuanya.

Alam Langit   : Alam selepas bumbung langit dunia.

Alam Malakut            : Alam tempat kediaman malaikat.

Alam Malakut Atas   : Bahagian alam yang tinggi, didiami oleh malaikat-malaikat dan lain-lain unsur nur yang seni yang bertugas memelihara alam dan menjalankan perintah Tuhan. Alam arwah merupakan sebahagian daripada alam malakut atas. Kursi dan ‘Arasy juga termasuk di dalam bahagiannya.

Alam Malakut Bawah           : Bahagian alam selepas alam dunia didiami oleh malaikat-malaikat yang menerima tugas yang berhubung dengan alam bawah. Alam barzakh termasuk di dalam ruang Alam Malakut Bawah.

Alam Misal     : Alam di mana unsur rohani belum bercantum dengan badan kebendaan. Alam misal jenis ini berada di dalam alam malakut. Ia merupakan peralihan daripada alam arwah menuju kepada peringkat alam Nasut, di mana unsur rohani yang daripada alam arwah itu mendapat badan masing-masing. Alam misal merupakan perincian kepada alam arwah. Pada tahap alam misal roh-roh individu mendapat bakat-bakat dan keupayaan masing-masing, hanya menunggu giliran masing-masing mendapatkan tubuh bagi mempamerkan bakat dan keupayaan roh tersebut. Alam misal jenis kedua berada di bawah bumbung langit dunia, sebagaimana yang dilihat oleh Rasulullah s.a.w semasa baginda s.a.w melakukan Israk. Dalam alam misal jenis kedua ini perkara-perkara ghaib dan abstrak diberikan bentuk atau gambaran bagi melahirkan pengenalan terhadap benda dan perkara tersebut. Dalam alam misal inilah Rasulullah s.a.w menemui iman Masitah dalam misal sebagai bau-bauan yang sangat harum.

Alam Nasut    : Alam kebendaan di mana unsur rohani mempunyai badan masing-masing.

Alam Saghir   : Alam kecil, iaitu manusia atau Alam Insan.

Alam Syahadah         : Alam nyata, iaitu bahagian alam yang unsur rohani menerima badan masing-masing.

Amal Soleh    : Kebaikan yang dilakukan kerana mentaati perintah Allah s.w.t dan dilakukan dengan ikhlas.

Ammarah       : Nafsu ammarah.

Amr     : Urusan atau perintah Tuhan, iaitu suasana tiada pilihan melainkan menjalankan dengan tepat apa yang Tuhan telah tentukan. Semua maklumat yang lengkap dan terperinci sudah dibekalkan pada amr Tuhan. Ia juga dibekalkan dengan bakat dan keupayaan untuk menyatakan maklumat yang ada padanya.

Ansar  : Penolong agama Allah s.w.t dengan jiwa dan harta mereka. Mereka berkhidmat dan berkorban untuk agama Allah s.w.t dalam semua bidang tanpa kepentingan diri sendiri. Mereka sanggup berpisah dengan pemilikan mereka demi membantu saudara-saudara Muslim dan demi jihad pada jalan Allah s.w.t.

Arasy  : Sempadan yang memagari semua kejadian tuhan. Apa sahaja yang Tuhan ciptakan berada di dalam pagar Arasy. Tidak ada satu pun kejadian Tuhan, baik yang nyata, yang gahib atau yang tersembunyi berada di luar Arasy. Arasy merupakan hijab yang kukuh. Tidak ada mahkluk yang berupaya menembusi Arasy untuk berdampingan atau bersekutu dengan Tuhan, walaupun makhluk itu merupakan malaikat yang paling tinggi darjatnya. Ilmu makhluk juga tidak mampu menembusi Arasy walaupun ilmu malaikat yang paling mulia. Arasy adalah daripada unsur Nur yang paling latif atau paling seni, lebih seni daripada nur yang menjadi zat kejadian malaikat Jibrail. Oleh sebab itu, Jibrail tidak berupaya untuk mengikuti Rasulullah s.a.w memasuki alam Arasy. Nabi Muhammad s.a.w berupaya berbuat demikian kerana roh baginda s.a.w adalah juga daripada unsur nur yang paling lembut yang bersesuaian dengan Nur Arasy.

Arasy yang Agung    : Sempadan Arasy yang paling luar. Ia merupakan kejadian Tuhan yang paling besar. Ia dinamakan juga kulit atau kerangka alam.

Arasy Yang Meliputi : Sempadan Arasy yang paling luar. Ia merupakan kejadian Tuhan yang paling besar. Ia dinamakan juga kulit atau kerangka alam.

Arifbillah        : Orang yang mengenal Allah s.w.t dan memiliki ilmu ketuhanan yang mendalam.

Ariffin : Arifbillah.

Asbab : Perjalanan dan keberkesanan hukum sebab musabab sebagaimana yang telah ditentukan oleh Allah s.w.t.

Aslim  : Sifat orang Islam, iaitu berserah diri kepada Allah s.w.t. Orang yang berserah diri kepada Tuhan melakukan sesuatu menurut peraturan yang Tuhan tetapkan. Mereka juga mengambil manfaat daripada keberkesanan sistem sebab musabab yang Tuhan tentukan tetapi mereka tidak lupa kepada Kuasa Mutlak yang menguasai sistem tersebut. Oleh yang demikian, mereka tidak berpisah dengan sifat sabar, tawakal dan redha.

Asma’ : Nama, biasanya yang dimaksudkan ialah nama Tuhan.

Asyikin                       : Orang yang mendapat asyik dengan hal ketuhanan seperti nama dan sifat-Nya. Orang yang asyik dengan satu-satu nama Tuhan akan melihat kenyataan nama tersebut pada apa sahaja yang dia pandang. Penyaksian yang demikian melahirkan kelazatan dan kepuasan pada jiwanya. Begitu juga keadaan orang yang asyik dengan sifat Tuhan.

Athar  : Benda-benda yang Tuhan jadikan dan letakkan kesan padanya.

Aurad : Wirid-wirid.

Azali   : Suasana Pentadbiran Tuhan atau yang berada pada sisi Tuhan, yang tidak ada permulaan.

B
Baqa   : Suasana kerohanian selepas peringkat fana. Dalam kebaqaan hati merasakan kekal, iaitu tidak berpisah dengan Allah s.w.t.

Baqabillah      : Baqa atau kekal bersama-sama Allah s.w.t/

Balhut : Keadaan Zat Allah s.w.t yang tidak dapat dihuraikan.

Barzakh          : Sempadan yang memisahkan dua perkara atau keadaan yang berlainan.