Monday 18 February 2013

Perihal Ulamak..



Hidayah

Hari berganti minggu dan minggu bertukar bulan. Kini genap sudah tiga bulan Sultan Murad berada di Pulau Magnesia. Selama ketiadaan baginda, Sultan Muhammad al-Fateh yang mentadbir negara. Walaupun usianya masih muda namun baginda dapat menunjukkan kemampuannya memikul tanggungjawab yang diamanahkan kepadanya. Rakyat berasa selamat walaupun Sultan Murad tidak ada. Mereka mula yakin dengan kemampuan putra baginda itu. Namun musuh mereka yang berpusat di kota Konstantinopel sentiasa berusaha menghancurkan kerajaan Usmaniah. Satu demi satu perancangan yang mereka lakukan. Kali ini Maharaja Konstantine menghantar utusan yang diketuai oleh Zaqhanus, seorang ketua paderi yang terkenal dengan kebijaksanaannya.

“Tujuan kita memperdayakan Sultan Muhammad dan ulama-ulama mereka adalah supaya mereka keluar dari Islam dan menganut agama kita. Sekiranya rancangan ini berjaya, kamu mendapat penghormatan seperti seorang raja dan kamu menjadi kaya-raya.” janji Maharaja Konstantine kepada Zaqhanus.

“Saya yakin rancangan ini pasti berjaya. Sultan muda itu pasti terperdaya dengan muslihat kita ini. Tambahan pula saya sudah membuat kajian dengan mendalam. Saya tahu di mana kelemahan mereka.” kata ketua paderi itu bersungguh-sungguh.

“Tetapi awas….” Kata Maharaja Konstantine, “Sekiranya rancangan ini gagal kamu jangan pulang ke sini. Aku tidak mahu tengok muka kamu lagi.”

“Baiklah, tuanku.” ujar Zaqhanus.

Dia bergitu yakin muslihatnya itu pasti mendatangkan kejayaan. Tambahan pula cabaranya tidak mampu dilakukkan oleh sesiapa pun. Usahkan manusia, malaikat, jin dan syaitan pun tidak mampu melakukannya. Janji Maharaja Konstantine menyemarakkan lagi semangatnya. Terbayang di ruang matanya kemewahan hidup dan penghormatan yang dikurniakan oleh maharaja.

Apabila Sultan Muhammad mendapat tahu kedatangan utusan Maharaja Konstantine itu, baginda berlapang dada kerana menjangka kedatangan mereka dengan niat baik. Mereka dilayan sebagai tetamu. Namun ketua paderi itu tetap tidak mengurungkan niatnya hendak memperdayakan Sultan Muhammad. Dia memasang perangkap kata-kata. “Kedatangan kami kali ini tidak membawa apa-apa hadiah daripada Maharaja Konstantine. Kami tahun tuanku tidak mahu menerima rasuah. Kedatangan kami kali ini hendak berbincang mengenai hadis Nabi Muhammad.” kata ketua paderi itu sebaik menghadap.

Sultan Muhammad tertarik hati mendengarnya. Sambil tersenyum baginda berkata, “Alhamdulillah, di sini ramai pakar hadis. Mereka bersedia mengajar kamu ilmu hadis. Semoga kamu mendapat hidayah daripada yang Maha Berkuasa.”

“Saya datang bukan hendak mempelajari ilmu hadis. Tetapi hendak berbincang mengenai suatu hadis dengan ulama-ulama tuanku.” kata Zaqhanus sambil membuka kitabnya.

“Apa maksud kamu?” tanya Sultan Muhammad.

“Tuanku perintahkan ulama-ulama besar supaya berkumpul ke sini kerana apa yang hendak saya perkatakan ini ada kaitanya dengan hadis nabi tuanku, Muhammad.” jawab ketua paderi itu.

“Apakah kamu hendak mempersendakan nabi kami?” tanya Sultan Muhammad. Baginda mula naik berang. Darah mudanya cepat panas sekiranya ada yang cuba mempersendakan Rasulullah SAW.

“Saya adalah ketua paderi di Kota Konstantinopel. Saya suka membaca kitab termasuk kitab hadis. Saya terjumpa sebuah hadis yang ada kaitannya dengan kaum Bani Israel. Kerana itu saya datang ke sini berbincang dengan ulama-ulama tuanku mengenai hadis itu.” jawab Zaqhanus. Dia yakin rancangannya pasti berjaya.

“Sekiranya hanya mahu berbincang sebuah hadis, cukup saya panggil seorang ulama sahaja. Mengapa perlu dikumpulkan ramai ulama?” kata Sultan Muhammad al-Fateh.

“Tuanku sudah lupakah sejarah Nabi Musa dengan Firaun? Apabila Nabi Musa hendak menunjukkan mukjizatnya maka disuruhnya Firaun memanggil semua tukang sihir yang ada di negeri Mesir supaya berkumpul di istana Firaun.” kata Zaqhanus pula.

“Adakah engkau anggap diri engkau Nabi Musa dan sultan kami sebagai Firaun?” herdik Panglima Tharhan sambil menghunus pedanya.

“Kami datang hendak berbincang mengenai sebuah hadis nabi kamu, Muhammad. Bukan hendak berperang.” kata Zaqhanus pula.

“Baiklah, saya setuju,” kata Sultan Muhammad al-Fateh lalu menyuruh panglima Tharhan menjauhi Zaqhanus.

“Tuanku perlu panggil semua ulama yang hebat kerana saya hendak berhadapan dengan mereka. Perkara ini amat penting kerana ada kaitanya dengan hadis nabi tuanku dan kaum Bani Israel.”

“Adakah kamu hendak berdebat mengenai hadis itu dengan ulama-ulama kami?” tanya Sultan Muhammad al-Fateh pula.

“Bukan berdebat tetapi hendak mencari kebenaran mengenai sebuah hadis nabi tuanku,” jawab Zaqhanus bersungguh-sungguh.

“Hadis yang mana satu?” tanya Sultan Muhammad lagi.

“Saya hanya membacakan hadis itu selepas semua ulama handalan tuanku berkumpul di sini,” jawab ketua paderi itu sambil tersenyum.

“Lebih baik kita jangan layan permintaan mereka. Suruh mereka keluar dari sini dengan segera,” bisik Khalil Pasya, Perdana Menteri Sultan Muhammad al-Fateh.

Namun Sultan Muhammad walaupun masih muda tetapi bijak dan berpandangan jauh. “Mereka hendak berbincang mengenai hadis dengan ulama-ulama kita. Sekiranya kita menolak, kita dituduh penakut. Kerana itu ada baiknya kita tunaikan permintaan mereka.”

Akhirnya mereka bersetuju dengan permintaan ketua paderi itu. Sultan Muhammad al-Fateh memerintahkan ulama-ulama terbilang berkumpul di istana. Kemudian ketua paderi itu bertanya, “Saya terbaca sebuah hadis mengatakan, ulama-ulama di kalangan kamu seperti nabi-nabi Bani Israel. Adakah itu hadis yang benar ataupun hadis palsu?”

“Hadis itu adalah hadis sahih. Memang pernah diucapkan oleh Nabi Muhammad SAW,” jawab seorang ulama yang hadir.

Ketua paderi itu tersenyum lalu berkata, “Di kalangan Bani Israel ada Nabi Isa yang boleh menghidupkan orang yang sudah mati. Sekiranya benar ulama-ulama kamu seperti nabi-nabi Bani Israel maka cuba hidupkan orang yang mati!”

Semua yang hadir terdiam. Masing-masing tidak berani bersuara. Melihat keadaan itu, ketua paderi itu menjadi semangkin angkuh. Dia mengulangi kata-katanya, “Saya terbaca sebuah hadis daripada nabi kamu Muhammad yang mengatakan, ulama-ulama di kalangan kamu seperti nabi-nabi Bani Israel. Baiklah, di kalangan Bani Israel ada Nabi Isa yang boleh menghidupkan orang yang sudah mati. Sekiranya benar seperti kata nabi kamu, di mana ulama-ulama kamu yang boleh menghidupkan orang yang mati?”

Suasana senyap seketika. Orang ramai menjadi bungkam.

“Cepat sambut cabaran itu! Jangan kamu berdiam diri! Tunjukkan kebolehan kamu!” kata Sultan Muhammad al-Fateh.

Tetapi tidak ada seorang ulama yang berada di situ menyahut cabaran itu. Masing-masing menundukkan kepala. Mereka berpendapat mustahil mereka boleh menghidupkan orang yang sudah mati.

“Di mana Syeikh Bayram? Mengapa dia tidak ada di sini?” tanya Sultan Muhammad al-Fateh yang baru menyedari ulama tua itu tidak berada di situ.

“Dia uzur kerana itu tidak dapat datang ke sini,” jawab salah seorang anak muridnya yang hadir.

“Perintahkan dia datang ke istana sekarang juga,” kata Sultan Muhammad.

Perintah itu segera dituruti. Selepas Syeikh Bayram datang, diceritakan mengenai cabaran ketua paderi itu.

“Tidak ada seorang pun ulama yang berani menyahut cabaran itu. Kami bergantung harapan kepada tuan. Sila tunjukkan kehebatan ulama Islam kepada mereka,” kata Sultan Muhammad al-Fateh.

Agak lama juga Syeikh Bayram termenung mencari ikhtihar bagi menyahut cabaran itu. Dia sedar sultan dan orang ramai bergantung harapan padanya bagi menyelesaikan perkara itu. Sekiranya tidak mereka semua pasti mendapat malu terutama sultan. Apa yang paling ditakutinya nanti ada yang memperlekehkan hadis Nabi Muhammad SAW serta memberikan kemenangan moral kepada musuh mereka.

“Baiklah, saya bersedia menyahut cabaran itu demi membuktikan kebenaran hadis itu,” beritahu Syeikh Bayram. Sultan Muhammad al-Fateh kelihatan gembira kerana yakin dengan kebolehan Syeikh Bayram.

“Tuanku, orang ini sudah mengaku dirinya seorang ulama yang sama tarafnya dengan nabi-nabi di kalangan Bani Israel. Sekarang saya mahu dihidupkan mayat di dalam kubur. Bukan orang yang baru mati,” kata Zaqhanus pula.

“Bagaimana tuan guru? Sanggupkah tuan melakukannya?” tanya Sultan Muhammad al-Fateh kepada Syiekh Bayram.

“Saya melakukannya dengan izin Tuhan,” jawab Syiekh Bayram dengan yakin.

Kemudian Syeikh Bayram mengajak mereka pergi ke kawasan tanah perkuburan. Kemudian Zaqhanus memilih salah sebuah kubur lama lalu berkata, “Saya mahu tuan hidupkan mayat di dalam kubur ini.”

“Ini sesuatu yang mustahil dapat dilakukan. Mereka sengaja hendak memalukan kita,” bisik seorang pemuda bernama Amir Pasya.

“Syeikh Bayram seorang ulama yang terbilang. Dia juga mempunyai karamah. Saya yakin dia mampu menyahut cabaran itu,” balas kawannya, Hasan Ulubate.

“Syeikh Bayram mendekati kubur itu kemudian melakukan sembahyang sunat dua rakaat lalu dia berdoa, “Wahai Tuhan, tunjukkan kebenaran hadis Nabi Muhammad SAW itu kepada kami.”

“Tiba-tiba dengan izin Tuhan yang Maha Berkuasa suatu keajaiban berlaku. Lubang kubur itu terbuka lalu kelihatan sekujur mayat di dalamnya. Zaqhanus meninjau ke dalam kubur lalu berkata, “Mayat ini baru meninggal dunia kerana tidak reput. Saya mahu kubur yang mayatnya sudah reput.”

Syeikh Bayram beralih ke kubur lain lalu membaca doa yang sama. Tiba-tiba kubur itu terbuka. Zaqhanus berpuashati apabila melihat dalam kubur itu cuma kelihatan tulang-temulang sahaja.
“Saya mahu kamu hidupkan mayat di dalam kubur ini,” katanya sambil tersenyum sinis.

Syeikh Bayram berseru, “wahai mayat, hidup dan bangun dengan izin aku…”

Tiba-tiba tulang-temulang itu bertukar menjadi mayat lalu bergerak-gerak dan bangkit dari kuburnya. Orang ramai berasa sungguh hairan. Malah ada yang berasa takut lalu melarikan diri kerana menyangka hantu bangkit dari dalam kubur itu. Kemudian Syeikh Bayram sempat bertanya nama dan umur orang itu bagi membuktikan kebenarannya. Orang ramai berasa takjub dengan kejadian itu.

“Sesungguhnya Muhammad itu memang seorang rasul. Aku naik saksi bahawa tidak ada tuhan selain Allah dan Muhammad itu Rasulullah,” ucap Zaqhanus.

Kemudian dia mengisytiharkan dirinya menganut agama Islam.

Yang Benar dan Yang Palsu

Puji-pujian dan sanjungan orang ramai kepada Syeikh Bayram menimbulkan rasa sakit hati Syeikh Aslam. Dia merasakan dirinya seolah-olah tidak dipedulikan lagi. Ke mana sahaja dia pergi, kedengaran orang ramai bercakap-cakap mengenai kehebatan Syeikh Bayram yang boleh menghidupkan orang yang sudah mati.

“Selepas melihat kehebatan Syeikh Bayram, ketua paderi yang bongkak itu akhirnya memeluk agama Islam. Sekarang dia berguru dengan Syeikh Bayram. Anak-anak muridnya juga semakin hari semakin bertambah,” kata Mahmud yang dahulunya berguru dengan Syeikh Aslam tetapi kini beralih kepada Syeikh Bayram.

Bertambah sakit hati Syeikh Aslam mendengarnya. Berhari-hari lamanya dia berkurung di dalam rumah, tidak keluar ke mana-mana. Akhirnya sakit hati itu bertukar menjadi dendam kesumat. Dia mula memikirkan bagaimanakah caranya hendak menjatuhkan Syeikh Bayram. Akhirnya dia mendapat satu cara lalu dia menghadap Sultan Muhammad al-Fateh.

“Nampaknya orang ramai semakin taksub kepada Syeikh Bayram. Sekiranya perkara ini dibiarkan, ia boleh merosakan akidah,” kata Syeikh Aslam dalam usaha memasukkan jarum fitnahnya.

“Merosakkan akidah? Apa maksud tuan?” tanya Sultan Muhammad al-Fateh.

“Ada yang mengatakan Syeikh Bayram lebih hebat dari nabi kerana dia boleh menghidupkan orang mati. Sekiranya perkara ini dibiarkan, ia boleh merosakkan akidah umat Islam,” jawab Syeikh Aslam.

“Tanggungjawab tuan dan para ulama yang lain menyedarkan orang ramai. Syeikh Bayram tidak bersalah.” Sultan Muhammad al-Fateh cuba mempertahankan penasihat sultan itu.

“Mengikut ilmu yang ada pada saya, Syeikh Bayram bukan sahaja bersalah tetapi sudah sesat dan menyesatkan,” kata Syeikh Aslam pula.

“Begitu berat tuduhan tuan. Apa buktinya?.” Sultan Muhammad meminta penjelasan.

“Tuanku sudah lupakah apa yang diucapkan oleh Syeikh Bayram kepada mayat di dalam kubur itu?” tanya Syeikh Aslam pula.

“Dia menyuruh mayat itu bangun. Kemudian mayat itu bangun dan boleh berkata-kata. Tetapi itu dengan izin Tuhan juga,” jawab Sultan Muhammad.

“Syeikh Baryam berkata kepada mayat itu, ‘Wahai mayat, hidup dan bangunlah dengan izin aku.’ Persoalan saya, mengapa Syeikh Bayram berkata ‘dengan izin aku’. Sepatutnya dia berkata dengan izin Allah.”

“Betulkah begitu ucapan Syeikh Baryam?” Sultan Muhammad semakin berminat hendak mengetahuinya.

“Benar, tuanku. Bukan saya sahaja yang mendengarnya malah orang ramai juga mendengarnya.”

Bagi memastikan kebenarannya baginda memanggil beberapa orang saksi yang boleh dipercayai. Masing-masing mengaku mendengar Syeikh Bayram menyebut ‘dengan izin aku’ bukan dengan izin Allah.

“Kerana itu ada yang memuja Syeikh Bayram kerana menganggap dia ada kuasa menghidupkan orang yang sudah mati. Malah ada yang bercadang hendak menyuruh Syeikh Bayram menghidupkannya semula selepas mati. Bukankah itu bahaya?”

Sultan Muhammad al-Fateh mula mempercayai kata-kata Syeikh Aslam. “Apa yang harus kita lakukan?” tanya Sultan Muhammad al-Fateh.

Syeikh Aslam tersenyum kerana sultan sudah percaya. Matlamatnya hendak menjatuhkan Syeikh Baryam pasti tercapai. Entah mengapa dendamnya pada Syeikh Bayram semakin membuak-buak.

“Kesalahan Syeikh Bayram amat berat iaitu mengaku dirinya Tuhan. Dia seolah-olah mahu memberitahu orang ramai bahawa dia berkuasa menghidupkan orang yang mati. Kerana itu saya mencadangkan supaya dia dihukum bunuh,” kata syeikh Aslam.

“Menjatuhkan hukuman bunuh pada seorang ulama yang terbilang bukan perkara mudah. Kerana itu ada baiknya kita tunggu kepulangan Sultan Murad dari Pulau Magnesia,” kata Sultan Muhammad pula.

“Itu mengambil masa yang lama. Setiap hari pengikut Syeikh Bayram semakin bertambah. Tuanku sudah diberi kuasa oleh Sultan Murad bagi memangku jawatannya. Tuanku berkuasa menjatuhkan hukuman.”

Namun Sultan Muhammad al-Fateh tidak mahu bertindak terburu-buru. “Lebih baik kita siasat dahulu perkara ini. Sekiranya terbukti kebenarannya barulah hukuman dijatuhkan,” katanya.

“Tuanku jangan membuang masa kerana Syeikh Bayram sudah melakukan kesalahan. Kerana itu hukuman mesti dijatuhkan,” desak Syeikh Aslam.

Sultan Muhammad kelihatan serba salah. Melihat keadaan itu, Syeikh Aslam berkata lagi, “Saya khuatir Syeikh Bayram sedang merancang hedak merampas kuasa kerana rumahnya selalu dikunjungi oleh orang-orang yang tidak dikenali. Mereka selalu berkumpul di rumah itu pada waktu malam.”

Mendengar aduan itu Sultan Muhammad seolah-olah tidak dapat menahan perasaannya. Darah mudanya cepat mendidih. 

“Kita pergi ke rumah Syeikh Bayram sekarang juga,” katanya.

Sultan Muhammad dengan diiringi oleh Syekih Aslam dan beberapa orang pengawal bergegas ke rumah Syeikh Bayram. Kedatangan mereka disambut oleh anak-anak dan isteri ulama terkenal itu.

“Di mana Syeikh Bayram?” tanya Sultan Muhammad.

“Dia berada di dalam biliknya. Mungkin sedang beramal ibadat,” jawab isteri Syeikh Bayram.

“Mungkin dia sengaja bersembunyi di biliknya. Elok kita sendiri menemuinya,” bisik Syeikh Aslam kepada Sultan Muhammad.

Mereka segera naik ke rumah. Isteri Syeikh Bayram membawa mereka ke sebuah bilik kecil yang dijadikan tempat beribadat oleh Syeikh Bayram. Tetapi pintu bilik itu berkunci dari dalam. Mereka memanggil nama Syeikh Bayram supaya membuka pintu itu tetapi tiada jawapan.

“Dia sengaja bersembunyi di dalam bilik ini kerana takut,” bisik Syeikh Aslam.

“Pecahkan pintu ini,” perintah Sultan Muhammad al-Fateh selepas puas memanggil nama Syeikh Bayram namun tidak ada jawapan.

Beberapa pengawal bertindak memecahkan pintu bilik itu, kemudian mereka segera masuk. Kelihatan Syeikh Bayram sedang sujud di tempat sembahyangnya.

“Jangan ganggu, dia sedang bersembahyang,” kata Sultan Muhammad al-Fateh kerana menyangka ulama terbilang itu sedang sujud dalam sembahyang.

Namun mereka berasa pelik kerana Syeikh Bayram sujud terlalu lama. Dia seolah-olah kaku di tempat sujudnya. Sultan Muhammad al-Fateh segera mendekati Syeikh Bayram.

“Dia sudah tidak bernyawa lagi…,” kata Sultan Muhammad al-Fateh selepas memeriksa denyutan nadi Syeikh Bayram.

Berita itu tersebar dengan begitu cepat. Orang ramai terutama anak-anak muridnya berkumpul di rumah ulama itu. Sultan Murad memendekkan percutiannya selepas mendapat tahu Syeikh Bayram meninggal dunia. Sultan Murad memerintahkan supaya Syeikh Bayram dikebumi dengan penuh penghormatan sesuai dengan tarafnya sebagai ulama.

“Bagaimana dengan ucapan Syeikh Bayram, ‘Wahai mayat, hidup dan bangunlah dengan izin aku.’ Apakah itu tidak menjadi kesalahan?” tanya Sultan Muhammad inginkan penjelasan.

“Sebenarnya semasa Syeikh Bayram berkata, ‘dengan izin aku’ itu, dia sedang mengalami tajalli Allah. Hakikatnya Allah yang berkata-kata dengan sifat kalam-Nya melalui Syeikh Bayram. Dengan erti kata lain, Syeikh Bayram Cuma menterjemahkan sahaja kalam Allah. Sebenarnya ‘dengan izin aku’ itu tetap bermaksud dengan izin Allah,” kata Syeikh Syamsudin al-Wali dengan panjang lebar.

Syeikh Aslam insaf dengan kesalahan yang dilakukannya. Dia berasa amat menyesal lalu bertaubat dan berjanji tidak melakukannya lagi.

“Syeikh Bayram digantikan oleh Syeikh Syamsudin al-Wali. Dia dilantik menjadi penasihat sultan,” kata Sultan Murad pula.

(Dipetik dari novel sejarah Islam - SULTAN MUHAMMAD AL-FATEH: PENAKLUK KONSTANTINOPEL karangan Abdul Latip Talib)