Tauhid adalah sebuah keyakinan; keyakinan yag kukuh di dalam
hati. Ia umpama akar yang terjunam jauh di dasar bumi. Akar itulah yang
melambangkan keyakinan kita kepada Allah. Ia melingkar di dalam hati sanubari
kita. Ia bukan sekadar di bibir dan pemikiran semata-mata. Telah sepakat para
ulama mengistilahkan bahawa makna tauhid atau akidah itu satu keyakinan yang
putus di dalam mengesakan Zat, Sifat dan Asma’ Allah. Hanya Allah yang
mempunyai sifat kesempurnaan dan bebas dari segala cela dan kekurangan.
Akhirnya semua keyakinan itu terjelma di dalam sikap, percakapan hatta gerak
hatinya pun sebagai natijah tauhid.
Dalam menanggapi hakikat itu, ia tidak hanya dicapai dengan
pemikiran akal semata-mata. Ilmu dan akal hanya dapat membahaskan istilah, membayangkan
segala sifat kesempurnaan melalui perbandingan, menyanggah hal-hal yang
mustahil bagi Allah serta menerima segala sifat harus bagi Allah; hanya sekadar
itu. Ketika hadir ujian, maka di sinilah ia menuntut sebuah keyakinan. Maka
ihsan itu adalah natijah dari sebuah keyakinan yang kukuh.
Dari segi keyakinan inilah akan lahir rasa kehadiran Allah
dalam segala sisi kehidupannya. Yakin Allah itu ada – Dia menjadikan, Dia
memiliki, Dia mentadbir dan mengawasinya dalam apa hal keadaan sekalipun. Yang
kita tidak mampu menanggapinya; sehingga timbul rasa gerun, takjub, waspada,
cemas, harap dan bimbang sentiasa persis seorang hamba yang sentiasa berawas
terhadap perintah tuannya. Inilah wajah hati orang yang bertauhid Ihsan.
Malangnya tauhid hari ini tidak mencapai piawai itu. Ia tidak
lebih dari sekadar menjadi perbahasan dan kalam-kalam ilmu. Tanpa menafikan hal
ini sesuatu yang perlu bahkan salah satu proses mencapai kesempurnaan tauhid
ihsan namun malangnya proses itu terhenti sekadar di pintu perbahasan. Jika ia
kekal sebagai perbahasan ilmiah semata-mata maka ia jauh dari maksud tauhid
yang sebenar iaitu sebuah keyakinan. Belum tentu orang yang pandai berhujah itu
sempurna tauhidnya selagi belum teruji.
“Apakah manusia mengira mereka akan dibiarkan hanya dengan
mengatakan, ‘Kami telah beriman dan mereka tidak diuji? Dan sungguh, kami telah
menguji orang-orang sebelum mereka, maka Allah pasti mengetahui orang-orang
yang benar dan pasti mengetahui orang-orang yang dusta.” (Al-Ankabut:2-3)
Kerana tauhid itu adalah pakaian dan wajah hati. Tauhid atau
apa yang disebut hari ini sebagai aqidah, ilmu usuluddin, ilmu kalam, ilmu
‘aqaid, ilmu sifat 20, tauhid rububiyyah, uluhiyyah atau asma’
wa sifat itu hanyalah istilah bagi menggambarkan metod kefahaman mengikut
jalan kesesuaian pemikiran yang sihat.
Tidak bermakna jika kita menghafal sifat 20 atau khatam ilmu
tauhid rububiyyah, uluhiyah atau asma’ wa sifat, ia sudah
memiliki tauhid atau keyakinan. Ilmu itu boleh diajar dan diperturunkan tetapi
sebuah keyakinan yang haq memerlukan proses ujian atau latihan.
Natijah orang yang bertauhid adalah taqwa dan Nabi saw pernah
bersabda, ‘Taqwa ha huna’ sambil menunjukkannya di hati baginda. Proses
memindahkan ilmu tauhid dari puncak pemikiran masuk ke dalam qalbi
memerlukan proses latihan.
“Wahai orang-orang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dan
ucapkanlah perkataan yang benar, nescaya Allah akan memperbaiki amalan-amalanmu
dan mengampuni dosa-dosamu. Dan barangsiapa mentaati Allah dan RasulNya, maka
sesungguhnya dia menang dengan kemenangan yang agung.” (Al-Ahzab:70-71)
Para sahabat ra yang hidup bersama Nabi saw telah melalui dan
menempuh latihan itu tanpa henti. Latihan itu tidak ada nama dan istilah pada
ketika itu. Ia hanya langsung diambil dan dicontohi dari Nabi saw. Ketika
melihat dan bertanya hal keadaan Nabi saw yang menghidupkan malam, memelihara
permakanannya, mencintai Allah melebihi diri dan ahli keluarga, hati baginda
hidup dengan zikrullah dan begitulah seterusnya. Ilmu ini hidup di dalam diri
Rasulullah saw dan dicontohi oleh para sahabat untuk dijadikan pakaian diri
masing-masing.
Ketahuilah bahawa tauhid bukanlah segunung kitab tetapi apa
yang tertanam di dalam hati dan hati orang bertauhid kena melahirkan natijah
ihsan; sehingga amal ibadah, solat, makan, minum, tidur baringnya dan segala
yang menyangkut hal kehidupannya terasa seperti diperhatikan Allah. Tidak
mungkin rasa bertuhan ini boleh diperolehi dengan membahaskan ilmu semata-mata
tetapi perlu melalui jalan perlatihan – namakan apa saja akhlak, tasawwuf atau
sufi. Ia merujuk kepada jalan amal yang ditunjukkan oleh Nabi saw yang dengan
bersungguh-sungguh, jihad memerangi nafsu, istiqamah dalam beramal dan sentiasa
memelihara adab. Orang yang tegar tauhidnya, yang itqan di atas jalan
tauhid tasawwuf adalah mereka yang digeruni Dajjal.
Persoalan tauhid menjadi inti pertarungan manusia dengan
Dajjal. Keyakinan itulah yang mahu direbut dan dimanupulasi oleh Dajjal. Dajjal
mahu merenggut keyakinan manusia dari percaya kepada Tuhan yang Esa dan
memiliki kerajaan langit dan bumi agar berpindah kepada tuhan manusia, persis
kisah Namrud dan Firaun. Di dalam surah Al-Kahfi, ditegaskan bahawa fitnah
seperti ini akan berulang kembali terjadi;
“Kawannya berkata kepadanya sedang dia bercakap-cakap
dengannya; Apakah kamu kafir kepada yang menciptakan kamu dari tanah, kemudian
dari setitis air mani, lalu Dia menjadikan kamu seseorang lelaki yang
sempurna?” (Al-Kahfi:37)
“Katakanlah, sesungguhnya aku (Muhammad) ini hanya seorang
manusia seperti kamu yang telah menerima wahyu bahawa sesungguhnya Tuhan kamu
adalah Tuhan yang Maha Esa. Maka barangsiapa mengharap pertemuan dengan
Tuhannya maka hendaklah dia mengerjakan kebajikan dan janganlah dia
mempersekutukanNya dengan sesuatu apa pun di dalam beribadah kepada Tuhannya.”
(Al-Kahfi:83)
Di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Umar bin Tsabit
al Anshari;
“Kalian tahu bahawa tidak ada seorang
pun di antara kalian yang dapat melihat Tuhannya sampai dia mati. Dan bahawa di
antara kedua-dua matanya (Dajjal) ada tulisan ‘Kafir’ yang akan terlihat oleh
mukmin…” (Riwayat dari Umar bin Tsabir al Anshari)
Inilah titik akhir pertarungan orang mukmin dengan Dajjal.
Tema pertarungan Dajjal dengan orang mukmin adalah untuk menguji tauhid mereka.
Dajjal mahu kita mengakuinya sebagai Tuhan. Ujian getir ini bukan seperti
peperiksaan di kolej dan universiti, tidak untuk menguji kefahaman dan hafalan
tetapi menguji sebuah keyakinan – ihsan. Kemuncak fitnahnya berada di sini, di
hujung segala penipuan dan konspirasi, setelah kita terpukau dengan segala
kepalsuan rekaannya. Akhirnya dia menampilkan syurga dan neraka lantas mengaku
sebagai Tuhan manusia. Mereka yang tipis iman dan tidak kukuh tauhidnya akan
gugur layu di dalam insiden yang amat getir ini.
(Dipetik dari buku Membongkar Misteri Dajjal – Muhammad Nuraini
Maarif)