Tuesday 30 July 2013

TANDA-TANDA KIAMAT KECIL


 Ibu Abbas menceritakan, ketika haji Wada, Rasullulah SAW memegang pintu Kaabah, kemudian menghadapkan wajahnya kepada orang ramai. Lalu berkata kepada mereka:

“Wahai sekalian orang Islam, antara tanda-tanda kiamat ialah solat tidak lagi didirikan, kehendak syahwat diikut, para pemimpin mengkhianati dan para menteri pula melakukan perbuatan fasik.”

Tiba-tiba Salman al-Farisi bangun ke arah beliau dan berkata, “Demi ayah dan ibuku sebagai tebusan wahai Rasulullah, apakah perkara tersebut benar-benar akan berlaku.”

Raslulullah SAW menjawab, “Benar wahai Salman. Ketika itu kemungkaran dianggap sebagai perbuatan yang baik, sedangkan perbuatan yang baik dianggap sebagai kemungkaran.”

“Apakah perkara seperti itu benar-benar akan berlaku?” Salman bertanya lagi.

Rasulullah SAW menjelaskan, “Benar wahai Salman. Ketika itu hati orang Islam larut di dalam badannya seperti garam yang larut di dalam air. Ini kerana, dia melihat kemungkaran tetapi tidak sanggup mengubahnya.”

“Apakah perkara seperti itu benar-benar akan berlaku?” tanya Salman.

“Benar wahai Salman,”  Rasulullah SAW menjawab, “Orang paling mulia ialah orang beriman yang berjalan di tengah golongan manusia dalam keadaan takut, sekiranya dia berbicara, mereka akan memakannya, dan jika dia berbicara, dia akan mati kerana kemarahan di dalam dirinya. Wahai Salman, satu bangsa itu tidak akan menjadi mulia sekiranya golongan yang kuat memakan yang lemah.”

“Apakah perkara seperti itu benar-benar akan berlaku?” tanya Salman.

“Benar wahai Salman. Ketika itu hujan jarang turun, anak sangat dibenci, orang hina berada di mana-mana dan orang mulia pula sukar ditemui,” Rasulullah SAW menjelaskan.

“Apakah perkara seperti itu benar-benar akan berlaku?” tanya Salman.

“Benar wahai Salman. Ketika itu orang kaya disanjung tinggi, agama dijual dengan dunia, kesenangan dunia dicari melalui amalan akhirat, lelaki dan wanita menjalinkan hubungan dan wanita juga mengadakan hubungan bersama wanita. Mereka adalah sebahagian umat saya yang mendapat laknat Allah. Wahai Salman, ketika itu, umat saya disusuli oleh bangsa lain yang tubuh mereka manusia, tetapi hati mereka adalah hati syaitan. Sekiranya umat saya bersuara, mereka dibunuh, dan sekiranya diam, darah mereka dihalalkan. Mereka tidak menyayangi anak kecil dan tidak menghormati orang tua.”

“Alangkah buruk perbuatan mereka. Ahli keluarga dikasari. Hukum mereka boleh dibicarakan. Wanita diangkat menjadi pemimpin. Mereka meminta pendapat daripada kanak-kanak. Anak kecil dipuja. Mempunyai ramai tentera. Orang lelaki menggunakan emas sebagai perhiasan dan mereka juga mengamalkan zina. Ramai penyanyi wanita muncul. Al-Quran dilagukan bacaannya. Orang hina lebih kerap diminta bercakap.”

Salman berkata, “Demi ayah dan ibu saya sebagai tebusan wahai Rasulullah, apa yang dimaksudkan orang hina lebih kerap disuruh bercakap?”

Rasulullah menjawab, “Dia membicarakan masalah secara umum, yang sebelumnya tidak pernah dibicarakan.”

“Apakah perkara seperti itu benar-benar akan berlaku?” tanya Salman.

Rasulullah SAW menjawab, “Benar wahai Salman. Pada masa itu, masjid-masjid dihiasi dengan beraneka perhiasan seperti gereja dan biara yang dihiasi dengan pelbagai hiasan. Mushaf al-Quran dihiasi dengan emas, mimbar-mimbar dibuat dengan begitu lebar. Terdapat banyak saf jemaah, tetapi hati manusia saling berjauhan. Perkataan mereka juga pelbagai macam. Siapa yang mendapat kurniaan, dia bersyukur, sedangkan yang tidak beroleh apa-apa menjadi kufur.”

“Apakah perkara seperti itu benar-benar akan berlaku?” tanya Salman.

Rasulullah SAW menjawab, “Benar wahai Salman. Pada masa itu, akan datang umat saya yang menjadi tawanan-tawanan dari timur dan barat. Orang yang lemah akan binasa dan mendapat kecelakan dari Allah. Sekiranya bercakap, mereka akan dibunuh, tetapi sekiranya diam, mereka tetap dibunuh. Mati dalam ketakutan kepada Allah lebih baik daripada hidup dalam kederhakaan kepada Allah.”

“Apakah perkara seperti itu benar-benar akan berlaku?” tanya Salman.

Rasulullah SAW menjawab, “Benar wahai Salman. Pada masa itu, isteri bersekutu dengan suami dalam urusan suami. Seorang anak menderhakai bapanya tetapi berbuat baik terhadap sahabatnya. Mereka memakai kulit biri-biri di atas hati serigala. Ulama mereka lebih buruk daripada bangkai.”

“Apakah perkara seperti itu benar-benar akan berlaku?” tanya Salman.

Rasulullah SAW menjawab, “Benar wahai Salman. Pada masa tersebut, ibadah mereka hanya dengan membaca lafaz-lafaz ibadah yang tidak mereka fahami kandungannya. Mereka disebut sebagai orang yang kotor oleh kerajaan langit dan bumi.”

“Apakah perkara seperti itu benar-benar akan berlaku?” tanya Salman.

Rasulullah SAW menjawab, “Benar wahai Salman. Pada masa itu, kitab Allah dijadikan nyanyian. Kitab Allah diletakkan pada punggung mereka. Mereka tidak menegakkan hukum yang ditetapkan Allah dan mematikan sunah saya. Mereka menghidupkan amalan bidaah. Tidak menyuruh orang lain berbuat baik dan menghalang kemungkaran. Ketika itu, anak-anak kecil. Anak kecil melamar seperti melamar wanita. Pasar-pasar makin banyak.”

“Apakah perkara seperti itu benar-benar akan berlaku?” tanya Salman.

Rasulullah SAW menjawab, “Sekiranya masing-masing berkata, ‘Aku tidak menjual dan aku tidak membeli.’ Sedangkan tidak ada yang memberikan rezeki melainkan Allah. Pada masa tersebut, orang yang berkuasa adalah mereka jahat yang merampas hak orang ramai dan menakut-nakutkan mereka. Engkau akan melihat ramai orang menggeletar ketakutan.”

“Ketika itu, ibadah haji dibesar-besarkan. Orang terkenal menunaikan haji kerana hawa nafsu. Golongan menengah pula mahu berniaga. Orang miskin pula menunaikan haji kerana mahu berbangga dan mendapat gelaran.”

“Apakah perkara seperti itu benar-benar akan berlaku?” tanya Salman.

Rasulullah SAW menjawab, “Benar wahai Salman.”

(Khutbah Rasulullah Wasiat Agung Buat Umat Tercinta – Rohidzir Rais)

Tuesday 23 July 2013

PERANG SALIB


PERMULAAN PERANG SALIB

Permulaan gerakan salib ini adalah akibat daripada propaganda yang hebat lagi jahil ketika itu daripada seorang yang bernama Batrus An-Nasik, yang ahli sejarah sifatkannya sebagai orang yang tidak pun pernah pergi ke Baitulmuqaddis dan tidak juga pernah berjumpa dengan Paus, tetapi atas semangat anti Islamnya itu dia telah Berjaya menghimpunkan orang-orang Kristian lalu mara ke Baitulmuqqadis. Dalam perjalanan mereka ke sana, mereka telah merompak, menyamun negeri-negeri dan daerah-daerah yang mereka lalui sambil melakukan kerja-kerja jenayah yang amat keji, hinggakan orang-orang Hungary dan Byzantin bangkit menentang mereka. Setibanya mereka di Konstantinopel mereka telah diarahkan oleh Maharaja Rom, Alexius Comnenus untuk ke Asia Kecil lalu lalu berjumpalah mereka dengan bala tentera Turki Saljuq di Niqia pada 1097 Masihi (489 Hijrah). Di dalam pertempuran itu, ramai di antara mereka telah pun terbunuh hingga ke orang yang terakhir.

Bagaimanapun mengikut kajian Mahayudin Hj. Yahya dan Ahmad Jelani Halimi, mereka mengatakan bahawa terdapat seorang pendeta dan pengembara berbangsa Perancis bernama Peters Amiens (Peter Hermit) yang telah menyaksikan penderitaan yang dialami oleh orang-orang Kristian sewaktu beliau di Palestin. Antara penderitaan yang dinyatakan adalah cukai yang tinggi yang dikenakan ke atas orang-orang Kristian yang melalui wilayah-wilayah Islam. Dalam pertemuanya dengan Paus Urban II, beliau telah melaporkan hal berkenaan serta berkempen kepada raja-raja dan para pembesar Kristian di Eropah supaya menentang orang-orang Islam. Peters telah dilantik oleh Paus sebagai propagandis bagi menaikkan semangat orang-orang Kristian di Eropah. Peters diangap sebagai seorang pendakwah yang zuhud. Beliau dikatakan berkaki ayam menjelajah ke seluruh pelosok kampong menyeru para penduduknya supaya tampil menyertai Pasukan Salibi atau ‘Crusade’ itu. Bagi mengenali tentera Salibnya ini, mereka telah sematkan kain bertanda Salib di lengan-lengan baju mereka.

Pada ketika itu Baitulmuqqadis adalah di bawah pentadbiran Atabeg Saljuq, yang memerintah di sekitar Syria dan Palestin iaitu di sebelah timur Laut Mediterranean, manakala di sebelah selatannya adalah wilayah kerajaan Fatimiyah yang berpusat di Mesir. Sejak tahun 471H (1078M) lagi telah tersebar fitnah bahawa gereja yang menempatkan makan Nabi Isa a.s. telah dibinasakan oleh kerajaan Fatimiyah. Bagi Maharaja Alexius Comnenus di Konstantinople pula, beliau telah menyeru raja-raja Eropah untuk memerangi orang-orang Islam bagi tujuan menyelamatkan kerajaan Byzantine beliau daripada terjatuh ke tangan Turki Saljuq Islam.

Sebelum itu, pada tahun 1061M, orang-orang Normans telah menyerang orang-orang Islam di Itali dan Sicily dan telah berjaya menakluki mereka pada tahun 1091M. Maka berlakulah pembunuhan terhadap orang-orang Islam tanpa belas kasihan. Orang-orang Spanyol telah melancarkan pula ‘Perperangan Menakluki Semula’ di Andalus, dan mula berjaya di Toledo pada 1085M. Apabila jatuhnya Sicily kepada tanganorang-orang Kristian maka peristiwa tersebut telah memberikan perangsang yang kuat kepada orang-orang Kristian bagi memperluaskan jajahan takluk mereka.

PASUKAN TENTERA SALIB PERTAMA

Pada tahun 1096M, Paus Urban II telah menyeru kepada pahlawan-pahlawan Agama Kristian Eropah untuk membebaskan kesucian permakaman Nabi Isa (Haikal Muqaddas, kuil suci mereka) di Baitulmuqqadis (Jerusalem). Paus ini telah menyarankan agar orang-orang berbangsa Frank itu bersatu dan menentang terhadap orang-orang Islam apa yang mereka panggil sebagai ‘unbelivers’ (atau orang yang tidak mempercayai). Dalam perjumpaan di Clermont (Perancis) itu, kesemua mereka memekik dengan suara yang bersemangat: “Tuhan mengkehendakinya!” (God wills it!) dalam bahasa Perancis “Deus lo volt!”. Mereka yang menyertai pasukan ini telah menjahit lambing salib daripada kain ke pakaian mereka. Dengan itu mereka dikenali sebagai Crusaders (Tentera Salib). Bagi orang-orang lelaki yang menyertai perang tersebut telah diberitahu bahawa kesemua dosa-dosa mereka akan diampunkan. Sekiranya mereka terkorban maka mereka akan terus masuk syurga, bermaksud sebagai ‘syahid’. Harta dan keluarga mereka yang tinggal adalah dijamin akan diberikan perlindungan oleh pihak gereja. Mereka yang berhutang jika menyertai perang Salibi, maka hutangnya akan dibatalkan. Bagi penjenayah yang menyertai peperangan itu akan terbatallah hukuman ke atas mereka. Dengan tawaran-tawaran sedemikian rupa maka ramailah yang mahu turut serta.

Pemergian mereka itu hanyalah berlandaskan sentimen serta emosi permusuhan terhadap Islam yang telah dikobar-kobarkan oleh pihak-pihak tertentu tetapi menutupi fakta-fakta terhadap sejarah dan fahaman mengenai Islam yang sebenarnya, malah ada penulis yang mengatakan angkatan tersebut terdiri daripada angkatan-angkatan para pengganas, kerana mereka telah merompak di kampung-kampung di dalam perjalanan mereka serta membunuh siapa yang cuba melawan, seolah-olah mereka itu berhak berbuat demikian atas nama ‘Jesus’. Ada juga di antara mereka yang terdiri daripada rakyat bawahan iaitu orang-orang kampung yang miskin, para penjenayah, juga orang-orang yang kuat pegangan agama mereka, termasuklah Peter Amiens (Peter Hermit) yang menunggang keldainya mengetuai pasukan sukarelawan rakyat tersebut. Peter kelihatan membawa bersamanya kayu salib besar di belakangnya. Pada bulan Mei 1096M, Peter telah berlepas dari Cologne di Jerman mengetuai pasukan salibnya itu, manakala sekumpulan lagi di bawah Walter “The Peniless” (Tanpa Wang) turut juga bertolak dengan pasukannya. Di Bandar Worms dan Prague, terdapat ramai rakyat Yahudi yang tinggal di sana dan mereka ini telah dizalimi, maka beribu-ribu pulaorang-orang Yahudi telah dipaksa untuk masuk Agama Kristian. Sesiapa yang enggan dibaptiskan akan disembelih tanpa soal jawab.

Akhirnya Maharaja Byzantine turut mengetahui yang tentera sukarelawan itu tanpa mempunyai displin dan beliau turut juga merasa bimbang dan cemas terhadap kumpulan itu lalu apabila mereka sampai ke Kota Konstantinopel, Maharaja Alexius Comnenus telah mengarahkan mereka untuk mara ke Niqia, seterusnya ke Antakiyah dan menuju ke Jurusalem. Sebaik sahaja pasukan Salibi itu masuk ke Nicomedia (kini Izmir), pertempuran pun berlaku, kerana pihak tentera Turki telah pun bersedia menunggu-nunggu ketibaan “tentera sukarelawan liar” tanpa displin tersebut. Dengan itu berlakulah pertempuran di mana ramai diantara “pasukan tentera rakyat” itu yang telah pun terkorban selain daripada mereka yang turut terkorban semasa di dalam perjalanan yang jauh. Walter “Tanpa Wang” telah terkorban bersama-sama dengan sebahagian besar daripada 300,000 Tentera Salib. Bagaimanapun Peters Miens telah berjaya melarikan dirinya ke Konstantinopel. Meskipun ini merupakan angkatan Perang Salib yang pertama dikirimkan ke Palestin, tetapi kebanyakan daripada penulis barat enggan mengiranya sebagai Perang Salib kerana mereka itu dikatakan tidak sempat sampai ke Palestin.

PASUKAN TENTERA SALIB KEDUA

Dinyatakan sementara itu Paus Urban II telah turut menyusun angkatannya dan menetapkan tarikh 15 Ogos 1097M (489H) untuk memulakan perjalanan pasukan tenteranya. Antara para pemimpin yang dipilih ialah Godfrey Duke Lorrain (Bouillon), saudaranya Baldwin I (Count Raymond of Toulose), Bostace, Robert Duke Normandy dan anaknya Wiliam Penakluk, Robert Count Flanders, Stephen Count Sharter, Reymond Count Joloz, Hugh of Firmando dan Bohemund Duke Torantum dan anak saudaranya Tankard dan lain-lain lagi. Para pemimpin mereka ini terdiri daripada golongan bangsawan dan pahlawan terbilang (Knights) Perancis. Bilangan tentera mereka adalah dianggarkan lebih kurang 200,000 ke 300,000 orang (mengikut angka yang lain memberikan 80,000 orang sahaja) yang bertolak bersama-sama dengan kaum wanita dan anak-anak mereka. Angkatan salibi ini telah bertolak pada bulan Mei 1097M untuk menuju ke Konstantinopel. Bagaimanapun Maharaja Alexius merasa cemas kerana melalui pengalamannya yang lepas beliau dapati ada di antara para panglima tentera salibi itu tidak jujur, seperti Count Bohemund dari Otranto yang pernah melanggar wilayah jajahan beliau di Albania dan Greece. Oleh itu dengan tujuan menjamin bagi memperolehi faedah untuk Byzantine maka Alexius telah meminta mereka semuanya berikrar dan berjanji menyerahkan semula wilayah bekas jajahan yang akan ditawan daripada Turki kepadanya apabila tentera Salib berjaya menawannya kelak. Setelah kesemua mereka bersetuju barulah Alexius menyediakan bekalan kelengkapan perang, kapal dan pemandu jalan untuk mereka menyeberang selat Bosphorus.

PENAKLUKAN OLEH PASUKAN TENTERA SALIB

Maka bermulalah Perang Salib Pertama (Perang Salib Kedua mengikut urutan peristiwa). Mula-mula Nicaea yang diperintah oleh penguasa Saljuq yang bergelar Sultan Qilij telah digempur. Setelah itu mereka berjaya menakluki Dorylaeum. Kemudian Maharaja Alexius sendiri memimpin sepasukan tentera Byzantine. Ketika itu kerajaan Turki dikatakan berpecah belah dan tidak bersatu lagi. Kemudiannya Edessa telah ditakluki oleh Baldwin, iaitu bekas jajahan Byzantine yang ditakluki Turki dahulunya. Bandar ini mempunyai ramai penduduk yang beragama Kristian. Dalam satu konspirasi, Raja Edessa telah dibunuh lalu Baldwin menjadikan dirinya sebagai raja. Dikatakan ini adalah kota takluk Pasukan Salib yang pertama di Asia Kecil. Begitu jugalah terjadinya pada Antioch (Antakiyah) yang mana telah berjaya ditewaskan oleh Bohemund dan Raymond Toulose, tetapi kemudiannya mereka telah berbalah sesama sendiri untuk menguasai jajahan tersebut. Meskipun ada di antara sultan dan pembesar Islam ketika itu seperti Amir Riswan dari Alegro dan amir dari Mosul mengirimkan tentera bantuan ke Antioch, tetapi kesemuanya telah dapat dipatahkan oleh pihak salibi.

SUNNI DAN SYIAH

Mengikut Bernard Lewis, semasa penawanan Antioch ini iaitu pada lewat 1097M, utusan daripada kerajaan Fatimiyah telah pun berada di khemah Tentera Salib bagi mencadangkan pembahagian Syiria dan merancang persefahaman bersama bagi menentang pihak musuh mereka bersama iaitu Turki Saljuq. Mengikut laporan daripada William dan Tyre menjelaskan kata-kata seperti berikut: “Fatimids were always friendlier to the Franks than the Sunni Muslims, and notes the glee of Fatimid envoys on hearing of Selju defeat at Nicaea”. Apa yang jelas kerajaan Fatimiyah ketika itu sungguh memusuhi pihak Saljuq (yang dikatakan sebagai ‘Suni Muslim’), meskipun mereka sedang menghadapi musuh yang terdiri dari pasukan Salibi. Permusuhan di antara Sunni dan Syiah sungguh ketara ketika itu. Maka berjayalah rancangan jahat yang diasaskan oleh pihak Abdullah ibn Saba’ al-San’ani al-Yamani dan dikenali juga dengan nama Ibn al-Sawd’ (sawda’) menanamkan benih perpecahan di kalangan umat Islam sejak zaman Khalifah Uthman lagi. Akhirnya Antioch dapat diperintah oleh Count Bohemund.

PEMBUNUHAN KEJAM

Dalam pada waktu itu Raymond telah mara ke Maarat dan dengan kejamnya telah membunuh kesemua penduduk Islam di sana. Mengikut Ibn Athir dalam bukunya Al Kamil Fit-Tarikh menjelaskan: “Raymond telah menakluki Maaratun-Nu’man, tempat lahirnya Abul Ala, kemudian tenteranya meninggalkan tempat itu pada 13 Januari 1096M, sesudah membunuh lebih 100,000 rakyat awam dan melemparkan mayat mereka ke dalam api.”

Mengikut seperti perancangan mereka, Godfrey dan Count Raymond telah pun bertemu dan bersatu di pinggir Baitulmuqaddis. Di Lydda mereka telah disambut oleh para penduduknya yang beragama Kristian pada musim buah 1099M. Selama lima minggu mereka cuba menawan kota kebal itu daripada tangan tentera Turki Saljuq. Akhirnya mereka telah membina menara bergerak untuk memasuki kota tersebut. Setelah bertungkus-lumus bertempur barulah Baitulmuqqadis berjaya ditawan mereka. Setelah ditawan, mereka telah melaksanakan selama seminggu untuk membunuh bukan sahaja orang-orang Islam bahkan rakyat yang beragama Kristian, orang-orang Yahudi, para wanita, orang-orang tua serta kanak-kanak juga turut disembelih. Seorang pemimpin mereka yang bernama Godfrey, Duke dari Lorrain telah menulis kepada Paus dengan mengatakan bahawa, “Kuda tungganganku telah mengharungi mayat-mayat hinggakan darah-darah manusia menyimbah sampai ke paras lututnya, kerana ramainya yang telah terbunuh.” Mengikut Ibn Khaldun, bahawa seramai 70,000 telah terbunuh termasuklah yang berada disekitar masjid, terdiri daripada alim ulama dan orang-orang yang sedang beribadat di dalam masjid…” Ada yang menyatakan bilangannya adalah seramai 60,000 seperti yang dicatatkan oleh Gustav Le Bon. Kejatuhan Baitulmuqqadis itu dinyatakan telah berlaku pada 15 Julai 1099M. setelah itu Godfrey telah diangkat menjadi sebagai raja di Baitulmuqqadis dengan gelaran “Pengawal Pusara Al-Masihi.” Berturutan dengan itu mereka telah mengadakan upacara bersembahyang di gereja Resurection bagi mengucapkan kesyukuran atas kemenangan tersebut.

Dengan bermulanya Perang salib ini, ia telah menandakan satu ‘an-out-and-out war’ menentang terhadap orang-orang beragama Islam. Lagu-lagu berunsur patriotik yang diberikan judul ‘Song of Roland’ telah dialunkan oleh mereka. Agama Islam telah dianggap mereka sebagai musuh Raja Charlemagne (maharaja suci mereka yang dahulunya). Dikatakan bahawa Roland telah melirikan lagunya dengan mengatakan bahawa orang-orang Islam itu adalah penyembah berhala, menyembah tiga tuhan iaitu, ‘Apollo, Tervagant dan Mahomet’. Jelas sekali mereka telah memainkan propaganda jahil kerana sentiment yang begitu kuat sekali untuk membenci Agama Islam, malahan mungkin lebih teruk lagi daripada sentiment puak musyrikin pada zaman Jahiliah itu sendiri yang menyesatkan manusia!

(Dipetik dari buku Fobia Yahudi dan Barat Terhadap Islam karangan Haji Husseiny bin Zambery.)